Monday, December 15, 2014

Kolaborasi Kepimpinan Pengetua Dengan PIBG-Komuniti Dalam Menjana Kecemerlangan Sekolah.



 Kolaborasi Kepimpinan Pengetua Dengan PIBG-Komuniti  Dalam Menjana
Kecemerlangan  Sekolah.

oleh

Sahiful Bahari bin Abd Rahman
Pengetua Cemerlang
Sekolah Menengah Sains Machang


1.Pengenalan


                 Dalam era perkembangan yang sangat laju ini, pendidikan di institusi sekolah tidak lagi mampu untuk bergerak sendirian untuk mencapai kecemerlangan.  No man is an island ( John Donne) bermaksud kita saling memerlukan dan tindak tanduk kita akan mempengaruhi orang lain.  Pengertian  hubungan komuniti ialah hubungan antara individu, institusi, sektor awam atau swasta baik secara formal dan tidak formal dalam program, perkhidmatan atau sumber  untuk membantu pencapaian murid.  Komuniti sama ada ibu bapa, persatuan bekas pelajar, masyarakat sekitar memainkan peranan membangunkan modal insan yang holistik. Perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah Al-Ma’idah ayat dua pula bermaksud :
“Dan bertolong-tolonglah kamu atas kebijaksanaan dan taqwa. Dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam dosa atau permusuhan”.
Mengikut Dato Hj. Abdul Rafie Bin Mahat, Mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, “Hubungan tiga dimensi iaitu sekolah, rumah dan komuniti perlu diberi penekanan. Ketiga-tiga entiti ini perlu ada hubungan yang mantap dan akrab kerana kejayaan sistem pendidikan negara bergantung kepada sejauhmana ketiga-tiga elemen ini dapat berfungsi, saling melengkapi dan bantu membantu antara satu sama lain. Pihak pengurusan sekolah boleh memainkan peranan utama dalam merapatkan hubungan antara rumah dan komuniti melalui pelbagai cara selain daripada yang diketahui umum iaitu melalui PIBG”.  Menurut Betty Boult (Donald, 1978) pula “In many schools, parents are welcomed as equal partnerships in their child’s education. Educators at such institutions believe that making education a meaningful experience for students requires partnerships, education is a shared trust”.  Hasrat ini bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaituPendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah LEBIH MEMPERKEMBANGKAN potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk MELAHIRKAN insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah BERTUJUAN UNTUK melahirkan WARGA NEGARA Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran KELUARGA, masyarakat dan negara.’ Mengikut  James M. Kouzes  and Barry Z. Posner (2002) dalam Five Practices of Exemplary Leadership, antara  amalan pemimpin yang berkesan, iaitu Model the way, Inspire a shared vision, and  Enable others to act. Elemen penting ini juga ditekankan oleh Lesly’s Handbook of Public Relations and Communications, iaitu. “Community relations, as a public relations function, is an institution’s planned, active, and continuing participation with and within a community to maintain and enhance its environment to the benefit of both the institution and the community”.



2.Pengurusan dan pentadbiran sekolah yang berkesan perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan pihak luar. Perhubungan pihak sekolah dengan agensi luar merupakan salah satu komponen penting dalam pengurusan sekolah.







 Amalan ini bertepatan hasrat Tan Sri Mahyuddin B Mohd Yassin selaku Menteri Pelajaran merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ( 2013-2025) yang merangkumi sembilan bidang keutamaan yang dikenal pasti hasil daripada Laporan Penilaian Pendidikan Negara telah diperhalusi. Antara sembilan perkara yang ditekankan tersebut ialah:

  1.  meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah;
  2.  mengukuhkan pelibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan.

           Dua fokus ini diperincikan dalam ANJAKAN YANG KELIMA (5) ialah memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.  Untuk itu, Kementerian Pelajaran Malaysia akan memperkenalkan kriteria pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan kompetensi, serta memperkukuhkan proses perancangan penggantian pengetua dan guru besar mulai tahun 2013. Selain itu, Kementerian juga akan menempatkan pengetua atau guru besar cemerlang di sekolah-sekolah luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin bandar bertujuan untuk meningkatkan prestasi sekolah. Kementerian juga akan menyediakan sokongan yang secukupnya kepada pengetua dan guru besar untuk membantu mereka meningkatkan prestasi sekolah.

            ANJAKAN YANG KESEMBILAN (9), iaitu memperluas jalinan kerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta. Pihak Kementerian akan mendapatkan maklum balas daripada setiap PIBG mengenai pelaksanaan kurikulum setempat dan kualiti guru mulai tahun 2016. Untuk menggalakkan penglibatan sektor swasta dan komuniti, Kementerian akan menambah bilangan Sekolah Amanah kepada 500 buah menjelang tahun 2025 dengan turut melibatkan kumpulan alumni dan pertubuhan bukan kerajaan yang berpotensi sebagai penganjur. Lawrence W. Lezotte (1991),  pula menggariskan antara  ciri Sekolah Berkesan iaitu hubungan sekolah- rumah yang intim. Berdasarkan kajian dan konsultasi dengan ibu bapa, Persatuan Ibu bapa dan Masyarakat di Canberra (ACT Council of Parents & Citizens Assosiation ), Australia  telah mengemukakan  ciri sekolah berkesan iaitu sokongan ibu bapa dan komuniti yang kukuh.


         Peranan ibu bapa dalam memahami akan tanggungjawab mereka mengenai pendidikan anak-anak mereka tidak dapat dinafikan. Kelly (1996)  menyebut bahawa adalah menjadi tugas serta tanggungjawab ibu bapa untuk membantu dan membimbing anak-anak menyelesaikan kerja rumah, mengurus masa belajar di rumah, memberi motivasi, mengatasi masalah pembelajaran dan mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum. Pihak sekolah sering mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa semasa Pendaftaran pelajar, Program Motivasi Keibubapaan dan Program Rundingcara Akademik.  Parents who read to their children before they enter school give their children a boost toward reading success. Talking to children about books and stories read to them also supports reading achievement. (Lawrence Erlbaum Associates, Inc. 1996. Developing Engaged Readers in School and Home Communities. Rahway, N.J.: Author
Tindakan dilaksanakan bagi memastikan objektif yang disasarkan dapat dicapai dalam jangka masa yang ditetapkan . PIBG telah merancang dan melaksanakan beberapa program yang melibatkan ibu bapa secara langsung, antaranya ialah Program Pendidikan Komuniti, Hari Keluarga, Sukaneka Rakyat, Seminar Pendidikan Keibubapaan dan forum keibubapaan.  

Michael Fullan  (2001) Leading in a Culture of Change menggambarkan lima set  teras  tindakan minda yang menentukan pemimpin yang berjaya dalam organisasi pembelajaran, iaitu
  Moral purpose
  Understanding change
  Relationship building
  Knowledge building
  Coherence making


Menurut Fullan (2001) lagi ‘involving parents is important because the closer parents are to the educator the greater the educational impact. The  'power of three'; teachers, parents and students aligned make all the difference.




3. Prinsip Asas perhubungan ini dapat dilaksanakan melalui beberapa kaedah, iaitu
1.  Perkongsian pintar (Smart partnership)
2.  Permuafakatan ( Collaboration)
3.      Win-win situation = Situasi menang-menang: sama-sama untung
4.      Cooperation = Kerjasama



   3.1  Manakala EPSTEIN’S menyebut enam jenis penglibatan.
Keibubapaan (Parenting)
Komunikasi (Communicating)
Sukarelawan (Volunteering)
Pembelajaran di rumah (Learning at Home)
Membuat keputusan (Decision Making)
Kobarasi dengan komuniti (Collaborating With Community)










Peranan pemimpin sekolah sangat penting bagi menjayakan hubungan dengan komuniti. Sejauh mana keberkesanan hubuingan banyak bergantung kepada sikap, nilai, kesantunan, kemahiran komunikasi dan gaya kepimpinan itu. Jadi, terdapat 20 petua untuk meningkatkan pemuafakatan pendidikan, iaitu


  1. Kita perlu melayan setiap orang dengan hormat dan dihargai.
  2. Kita perlu sentiasa cuba mendengar pandangan orang lain, jangan menyindir.
  3. Kita perlu melihat ciri-ciri baik pada orang lain
  4. Jadi seorang pendengar yang baik; jangan mengganggu percakapan orang
  5. Kita perlu bersedia menerima teguran yang membina
  6. Kita perlu bersedia berkongsi idea, kemahiran, pengalaman dan maklumat.
  7. Kita memberi kritikan seseorang secara positif
  8. Kita perlu bersikap setia kepada orang lain
  9. Kita perlu mengelakkan `pilih bulu’, beri layanan yang sama kepada semua orang
  10. Kepimpinan orang lain untuk perkembangan dan pembangunan.
  11. Kita perlu memberi penghargaan secara jujur
  12. Kita perlu menegur kesilapan orang lain secara berhemah dan sopan.
  13. Kita perlu memberi tumpuan kepada perhubungan bukan sahsiah orang
  14. Kita perlu meupakan perkara yang remeh-temeh
  15. Kita perlu memulakan dengan memberi penghargaan sekiranya terdapat kesilapan
  16. Kita perlu mewujudkan suasana tolak ansur
  17. Kita perlu mengelakkan bertelingkah; Tiada sesiapa yang akan menang dalam pertikaian.
  18. Kita mudah memberi senyuman. Senyum adalah sedekah (pada yang sesuai)
  19. Kita perlu bersikap berlapang dada dan bersedia mengaku kesilapan
  20. Kita perlu mengelakkan bersikap cepat marah dan hilang sabar.

Basic principles of effective collaboration. Everyone needs to be treated with dignity and respect. Everyone needs to be heard. All of the information needs to be clear for everyone.    (Epstein, 2009)

Untuk melihat merumuskan rantaian hubungan pemimpin dengan komuniti lebih jelas mari kita  meneliti model kepimpinan komuniti di bawah.




5.Peranan PIBG sebagai jentera perhubungan antara sekolah dengan ibu bapa
  Pemerhatian ke atas peranan PIBG di Malaysia didapati sekolah-sekolah yang cemerlang dibantu oleh PIBG yang aktif.  Kajian-kajian di Amerika Syarikat tahun 1987 menunjukkan bahawa penglibatan ibu bapa di sekolah sebagai faktor utama menentukan kejayaan pelajar di sekolah. Perkara ini boleh merujuk kepada P.U(A) 118 Peraturan-Peraturan Pendidikan (PIBG), pekeliling yang berkaitan. Jadi, amat jelas kepada kita PIBG adalah rakan kongsi pendidikan yang sangat penting. Manakala wakil guru dalam AJK PIBG akan mewakili hasrat dan cita rasa sekolah.  Peranan pengetua/GB adalah ex-officio sahaja . Mengikut Akta Pendidikan KPM 1996, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) ditubuhkan di semua sekolah kerajaan bertujuan untuk mewujudkan permuafakatan antara ibu bapa dan guru (PIBG), yang diharapkan dapat membina kesefahamanan tentang tugas dan  tanggungjawab bersama dan usaha dalam meningkatkan mutu pengajaran guru dan pembelajaran murid di sekolah.








 Three kinds of parental involvement at home are consistently associated with higher     student achievement: actively organizing and monitoring a child’s time, helping with homework and discussing school matters.  (Finn, 1998)

Ia juga untuk mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat. PIBG juga mempunyai peranan  saling lengkap melengkapi  terhadap fungsi Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menyediakan prasarana, kemudahan dan suasana sekolah yang kondusif kepada murid-murid dan guru-guru di sekolah.  PIBG mempunyai peranan yang penting dalam pengurusan sesebuah sekolah. Antaranya ialah membantu dalam memajukan perkembangan murid dan menjaga kebajikan murid, menambah sumber kewangan sekolah bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di sekolah, meningkatkan kemesraan dan menyediakan saluran komunikasi dan hubungan antara sekolah dengan masyarakat setempat, meningkatkan keceriaan premis sekolah supaya dapat mewujudkan suasana yang konduksif bagi menjayakan aktiviti dan program pendidikan. Semua ibu bapa dan guru di sekolah ini merupakan ahli PIBG. AJK PIBG dipilih melalui Mesyuarat Agung Tahunan dan menjalankan tugas dan amanah secara sukarela serta perlu menitikberatkan keikhlasan, keterbukaan dan pengorbanan.

When children and parents talk regularly about school, children perform better academically. (Aston & McLanahan, 1991; Ho & Willms, 1996; Finn, 1993)







 5.Peranan sekolah sebagai institusi masyarakat

Masyarakat merupakan institusi tidak formal yang mempengaruhi pendidikan seseorang pelajar. Institusi tidak formal ini berfungsi sebagai wahana yang menerima pelajar di luar aktiviti di sekolah. Keadaan ini wujud kerana masa pelajar lebih banyak terarah untuk berinteraksi sesama rakan sebaya dan masyarakat dalam institusi masyarakat selain institusi keluarga. Bentuk-bentuk institusi masyarakat yang wujud ialah persatuan belia, badan kebajikan penduduk, badan koperasi, institusi masjid, badan-badan berkanun dan bukan berkanun dan lain-lain lagi. Di peringkat sekolah yang dilihat aktif dan berperanan pada hari ini ialah Persatuan Ibu bapa Dan Guru (PIBG).Apa yang berlaku pada masa ini, sebahagian besar institusi masyarakat ini tidak berkesan dalam melaksanakan fungsinya.  Kerjasama yang erat antara pihak sekolah dengan pihak komuniti luar amat penting dan sangat membantu pihak sekolah untuk mencapai kecemerlangan sekolah khususnya para pelajar dan organisasi guru. Tanpa integrasi kerjasama kedua-dua pihak, kejayaan dalam mengurus sesebuah organisasi sukar dicapai. Model Hoover-Dempsey dan Sandler jelas menunjukkan bahawa kebersamaan sekolah dan komuniti boleh dijalin dengan ibu bapa sebagai salah satu dari komponen komuniti sesebuah sekolah itu. Kebersamaan yang tidak pernah wujud tidak akan dapat menghasilkan pelajar yang boleh belajar seperti yang disebut oleh Gallagher et. al (2005). Model ini menunjukkan bahawa hubungan sekolah dan komuniti dapat diwujudkan sekiranya pihak pengurusan sekolah dapat memastikan agar pihak guru dan ibu bapa saling memahami perasaan  antara satu sama lain sebagai langkah pertama untuk mewujudkan hubungan harmoni kedua-dua pihak (Berger, 1983).

5.1 Perkongsian Pengalaman PIBG SK ZAINAB (2)

 PIBG telah berjaya mewujudkan sebuah Bilik PIBG. Bilik ini disediakan  hasil  RM20,000 daripada penganjuran  Majlis Makan Malam Amal. AJK PIBG menggunakan sepenuhnya bilik tersebut untuk berjumpa dan berbincang tentang pelbagai program. Pelbagai kemudahan disediakan seperti komputer, pencetak, perabot dll  PIBG dan seluruh warga sekolah bertanggungjawab menjana kejayaan melalui penerapan konsep ‘BERJAYA BERSAMA’. Mereka membantu anak mereka sendiri dan membantu anak-anak orang lain juga agar semua berjaya.

Positive results of parental involvement in their children's schooling include improved achievement, reduced absenteeism, improved behavior, and restored confidence among parents in their children's schooling. (Institute for Responsive Education. The Home-School Connection: Selected Partnership Programs in Large Cities. Boston: Author.)


 Ibu bapa juga menggalakkan anak-anak membantu sesama sendiri melalui program “PEER TUTORING”. PIBG sentiasa mengambil berat kebajikan murid  dan mengambil inisiatif mendapatkan bantuan bagi murid miskin untuk menyambung pelajaran. Perhubungan baik dengan agensi seperti Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Kelantan dan sebagainya membolehkan murid mendapat banyak manfaat. PIBG berjaya mengusahakan Persatuan Kemajuan Wanita Kelantan Di Kuala Lumpur dan Selangor (PUSPA) menjadikan SK Zainab (2) sebagai Sekolah Angkat . PUSPA memberi bantuan biasiswa bulanan kepada murid miskin selain mengadakan program motivasi kepada murid dan perkongsian ilmu dengan guru-guru. PUSPA diterajui oleh Y.Bhg. Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, pakar Bahasa Melayu/ tokoh akademik tersohor di Malaysia. Setiap bulan, seorang ayah /ibu yang berkerjaya akan menyampaikan ceramah motivasi  dalam program bicara ayah/bonda. di perhimpunan pagi.


5.2   Pengalaman Sekolah  Rakan Alam Sekitar SMK INANAM, Kota Kinabalu, Sabah.

Program SERASI (Sekolah Rakan Alam Sekitar)   telah menyatukan sekolah dan komuniti ke arah kehidupan lestari.  Program ini merupakan instrumen membawa kepada penyatuan warga sekolah bersama komuniti. Program ini telah berjaya meningkatkan kesedaran alam sekitar ke arah kehidupan lestari.  Program ini mendapat kerjasama daripada Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar Persekutuan, Jabatan Perhutanan Sabah, Pusat Tindakan Alam Sekitar (EAC), Sabah Wetlands Conservation Society, dan SHELL Malaysia. Selain itu, program ini juga memupuk sikap positif dan cinta akan alam sekitar dalam kalangan warga sekolah dan masyarakat. Langkah ini secara langsung menggalakkan inovasi ke arah membentuk persekitaran sekolah yang menitikberatkan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Impaknya, SMK Inanam tekah memenangi   Anugerah SERASI 2011/2012 Pengurusan Alam Sekitar Terbaik  (Peringkat Sekolah Menengah)..

5.3  Penglibatan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah , Brunei (MDPMAMB) dengan masyarakat.  Partnership With Parents And The Communities’ sebagai salah satu dari empat Bidang Keutamaan Dalam Rancangan Kemajuan Maktab  2011 – 2015. Maktab ini menetapkan Dasar 6 Jam Wajib Penglibatan Pelajar Dalam Kerja-Kerja Amal Dan Sukarela Kepada Masyarakat (Program Bakti Pelajar)  sepanjang tempoh dua tahun pengajian –program ini berkuatkuasakan mulai Januari 2012.Selain itu, pihak sekolah juga memainkan peranan dalam penyebaran ilmu dan perkhidmatannya kepada masyarakat . Peranan sekolah dalam melaksanakan program-program usahasama mulai 2011. Program ini juga memberi pendedahan secara langsung kepada ibu bapa dan penjaga. Jadi, ibu bapa mengetahui hala tuju/kerjaya anak-anak mereka nanti.

5.4 Pengalaman SMP NEGERI 2 Ciamis , Indonesia. Rintisan Sekolah Bertaraf Internasional  Dan Sekolah Model Adiwiyata Nasional Mandiri .

Menurut Dr. Agus Sumantri,M.Pd, Pengetuanya, “Untuk membangunkan   sekolah  menjadi sekolah berkualiti hubungan dengan komuniti bukan sahaja dalam negara malah di persada antarabangsa sangat perlu dan penting.” Bagi merealisasikan hasrat ini pihak sekolah perlu ada kriteria berikut:

  1. komitmen
  2. perubahan paradigma
  3. sikap mental
  4. pengorganisasian

Sekolah ini telah berjaya membuat perubahan daripada sekolah yang tidak ternama menjadi sekolah yang unggul dan hebat.  Faktor utama yang mempengaruhi kejayaan sekolah ialah   seluruh elemen komuniti sekolah mulai daripada ; guru, siswa, orang tua, dan pimpinan di sekolah memberi dokongan dan bekerjasama  erat. Laporan kajian Dr.Joyce Epstein melihat sekolah, iaitu “The way school care about children is reflected in the way schools care about the children’s families.”
 Program sekolah dan penyelenggaraan sekolah telah didukung oleh komuniti. Sekolah ini juga mengadakan jalinan dan jaringan di peringkat antarabangsa, antaranya,

  1. SMK Putrajaya Presint 14(1) Malaysia
  2. Sehit Ogretmenler Ilkogretim Okulu- Turky
  3.  Glenunga International High School (GIHS) Australia
  4. SMK Bandar Maharani Muar Johor Malaysia
  5. SMK Mount Austin Pasir Gudang Johor

Kolaborasi amalan terbaik dari segi perkembangan, pengukuhan dan pengayaan kurikulum khususnya untuk mata pelajaran Sains dan  Matematik, Pertukaran Informasi, Pertukaran Siswa dengan model Home Stay, dan Perkongsian Karyawan dan Penampilan Seni Budaya telah menjadikan sekolah ini sangat cemerlang.


5.5 Sekolah Ban Buketa,Narathiwat, Thailand..   Falsafah sekolah ini ialah  pelajaran  ke arah  kehidupan  yang   sempurna . Menurut Guru Besarnya, Arun Benyakupt  sekolah mempunyai jawatankuasa yang menjadi penghubung kepada sekolah-komuniti. Jawatankuasa ini terdiri daripada  wakil guru, ibu bapa, wakil daripada parti politik, ahli agama dan alumni. Pada asalnya sekolah menghadapi banyak masalah, seperti pencapaian akademik yang rendah, kurang sokongan ibu bapa,dan akhlak pelajar. Tetapi, melalui kolaborasi dan permuafakatan komuniti semua masalah berjaya diselesaikan. Sekolah ini menerapkan konsep ‘kerja sekolah adalah kerja ibu bapa’ dan ‘semua pekerja ialah guru bagi murid’.Program pembelajaran yang  bermuafakat  dengan  ibu bapa  untuk kesejahteraan rakyat Thailand. Memandangkan keadaan Selatan Thailand yang tidak stabil dari segi politik dan keselamatan. Jadi, hubungan pihak sekolah dan komuniti termasuk ketua kampung sangat penting. Jika hubungan tidak mesra boleh menyebabkan pertelingkahan yang boleh membawa maut. Akhirnya, sekolah ini berjaya meningkat kepuasan pelanggan dan Sekolah Ban Buketa menjadi Johan serta model kepada sekolah lain di Wilayah Narathiwat.

6.Amalan terbaik  rangkaian hubungan tiga dimensi sekolah, rumah dan komuniti bagi pembentukan sahsiah unggul pelajar dan kecemerlangan di Sekolah Menengah Sains Machang.


6.1   Majlis Konvokesyen

  Acara ini merupakan etos sekolah dan antara program yang penting  ditunggu oleh semua pelajar Sekolah Menengah Sains Machang. Program ini telah berjaya melibatkan pentadbir, guru-guru, pelajar kakitangan sekolah, ibu bapa dan juga komuniti sekitar. Program ini  berlangsung selama  tiga hari dua malam dan terbahagi kepada beberapa aktiviti iaitu 

i)                    Majlis Konvokesyen
ii)                  Majlis Reunion Dinner
iii)                Keusahawanan Pelajar Tingkatan lima
iv)                Pameran dan Persembahan
v)                  Pertandingan catur, bola sepak dan sepak takraw
         Program ini dimulakan dengan acara keusahawan pelajar yang dikendalikan oleh semua pelajar tingkatan lima. Matlamat aktiviti keusahawanan pelajar ini  untuk mendedahkan pelajar tentang dunia perniagaan. Pelbagai gerai jualan dibuka oleh pelajar dan dibantu oleh guru kelas dan kakitangan sokongan masing-masing. Sebelum itu satu perjumpaan diadakan untuk menyelaras apa yang hendak dijual oleh kelas masing-masing dan persiapan dibuat berdasarkan jenis perniagaan yang hendak dilaksanakan.

       Semasa kegiatan ini berjalan nilai-nilai murni diaplikasi kepada pelajar misalnya yang menjual kupon mesti jujur dan amanah, yang menjual di gerai  saling bekerjasama dan bertanggungjawab terhadap gerai masing-masing.  Di samping memastikan kebersihan gerai sentiasa diamalkan kerana kebersihan itu sebahagian daripada iman.
Selain itu, terdapat juga agensi luar yang terlibat semasa program ini berlangsung seperti pasukan bomba dan penyelamat, Polis diRaja Malaysia, Agensi Anti-Dadah kebangsaan, Jabatan kesihatan dan FAMA negeri Kelantan. Penglibatan agensi luar, ibu bapa dan pihak sekolah ini telah menjadi pendorong ke arah pembentukan jati diri pelajar dan menjadi kebanggaan semua pihak untuk menjadi warga sekolah ini. Pihak ibu bapa pula berasa bangga anak mereka dapat belajar di sini yang berjaya mencungkil bakat dan sahsiah yang unggul.

Penyata jualan semasa majlis konvokesyen
Tahun
Jumlah Jualan
2010
RM 20470.00
2011
RM 21246.00
2012
RM 21014.00
           
Hasil daripada jualan ini pelajar sumbangkan kepada sekolah untuk tujuan program P & P  kecemerlangan akademik, dan keceriaan sekolah.  Ini sebagai bukti bahawa mereka mempunyai sifat suka melakukan kerja-kerja amal dan berkhidmat kepada rakan–rakan sebaya. Pada malam pula diadakan satu lagi program yang dipanggil Majlis Reunion Dinner. Majlis ini di adakan untuk menghargai jasa bekas pelajar SPM tahun lepas yang cemerlang dalam peperiksaan SPM , di samping itu Alumni juga dijemput bersama untuk memeriahkan lagi majlis. Himpunan antara bekas pelajar SPM, Alumni, PIBG dan guru/kakitangan sekolah merupakan satu peluang yang cukup baik bagi Alumni untuk memberi motivasi/nasihat dan menceritakan pahit maung semasa belajar dan berjaya seperti sekarang.

Majlis Konvokesyen  telah diadakan untuk menghargai dan meraikan kejayaan bekas pelajar yang mengambil peperiksaan SPM tahun lepas. Majlis ini dihadiri pihak ibu bapa pelajar, PIBG dan jemputan VIP. Kejayaan pelajar dalam peperiksaan SPM ini memberi motivasi  kepada pelajar tingkatan 5 yang akan menghadapinya pada bulan November nanti. Mereka melihat bagaimana kejayaan bekas pelajar yang dapat mengikuti program keluar negara , matrikulasi dan  kursus profesional di universiti.  Sebagai rumusan dapat kita katakan bahawa pelajar ini mempunyai motivasi yang tinggi untuk belajar, berdaya saing, mampu berdikari untuk melaksanakan sebarang program, saling bekerjasama sesama pelajar, ibu bapa, sekolah dan komuniti. Semua ini adalah ciri-ciri penting ke arah pembentukan sahsiah yang unggul.

6.2  Malam Nostalgia dan  Sumbangsih
Program ini dilaksanakan bertujuan untuk mendidik pelajar tingkatan 5 supaya mereka menghargai jasa sekolah kepada mereka agar tidak menjadi pepatah seperti kacang lupakan kulit. Sepanjang tempoh pengajian selama lima tahun di sekolah ini  mereka banyak menimba ilmu, latihan, dan pengalaman daripada sekolah, guru, kakitangan , ibu bapa dan komuniti. Rasa sayang akan sekolah dan semangat kekitaan dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Sains Machang  disemai dan dipupuk. Hubungan pelajar junior dan senior menjadi semakin jelekit.
Pada malam Nostalgia  tersebut tetamu yang hadir terdiri daripada bekas pengetua, bekas guru, ibu bapa pelajar, PIBG dan semua pelajar Tingkatan 5. Jamuan makan malam ini telah berjaya  menghimpun pelajar, pihak sekolah, Alumni, ibu bapa pelajar dan bekas pengetua. Pada akhir majlis ini pengerusi ikatan pelajar tingkatan lima akan mengumumkan sumbangan wang ringgit kepada pihak sekolah. Sebagai tanda terima kasih dan penghargaan mereka kerana lima tahun menuntut ilmu di sekolah ini. Impaknya kita dapat memupuk dan melahirkan pelajar yang sanggup berkorban, mengenang jasa guru, ikhlas ,beramal saleh untuk  sekolah ,budaya bersyukur, prihatin,  dedikasi, kerjasama, permuafakatan dan patriotik, iaitu sayang akan sekolah.


Penyataa sumbangsih pelajar
Tahun
Sumbangsih pelajar
2010
RM 15,333.33
2011
RM 12,222.22
2012
RM 14,444,44

Sumbangan ini pihak sekolah telah membina seperti “halt stand” tempat perhimpunan pelajar pada hari ahad, Kolam 88 depan pejabat, Gerbang  Ilmu, Menara Jam, Mercu tanda  dan sebagainya.


6.3              Kelab Akuatik dan Taman mesra Alam
Kelab akuatik dan taman mesra alam ini telah ditubuhkan sejak tahun 2001. Tujuan penubuhannya bagi mendidik pelajar supaya menghargai alam sekitar. Melalui dana PIBG telah membina kolam ikan, tapak untuk perkhemahan dan sebuah Dewan Terbuka. Lantaran itu pelajar dapat menghargai anugerah alam semula jadi di kawasan ini. Sehubungan  itu kelab ini berjaya mengadakan pertandingan memancing dua kali setahun. Penyelaras program ini menggalakkan pelajar untuk menganjurkan pertandingan ini. Juara pertandingan memancing mendapat hadiah wang tunai RM2500. Penyertaan orang ramai sangat menggalakkan sehingga mencecah 350 pemancing dari seluruh negeri Kelantan.

Kelab akuatik telah berjaya menyalurkan dana dan memberi sumbangan seperti menyediakan kipas di ruang bilik pameran, menyediakan 6 unit pendingin hawa di masjid Ibadurrahman untuk keselesaan pelajar bersolat, menurap jalan sekitar  Dewan Terbuka di Taman Mesra Alam. Sebagai rumusan yang dapat kita nilai daripada program ini ialah pelajar dapat mencari dana untuk disumbangkan kepada sekolah. Ini menunjukkan  sikap yang sangat baik kerana sanggup menyusun satu program yang menjadi etos dan kebanggaan kepada semua pihak baik sekolah, ibu bapa dan juga komuniti. Sikap mereka yang suka membantu diharapkan suatu hari nanti mereka akan menjadi warganegara yang berguna kepada agama,bangsa dan negara. Dengan nilai yang disemai ini akan menjadikan mereka  mencintai dan memelihara alam semula jadi, memupuk semangat usahawan dan menternak ikan sebagai satu industri.


6.4  Projek Burung Layang-layang

              Satu lagi projek PIBG ialah bangunan pekerja lama telah ditukar kepada  Projek Burung Lalang-lalang.  Projek ini telah menjadi projek anak angkat Yang Berbahagia Dato Dr Hj Mohd Zairi b Hj Serlan, Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan. Antara objektifnya mendedahkan kepada murid tentang amali sains hayat dan mencintai flora dan fauna. Projek ini juga mendapat kerjasama daripada Mohd Nawi b Husin, Consultant Burung Layang-layang Negeri Kelantan. Dana PIBG dikumpul dapat  digunakan untuk melaksanakan pelbagai kem kecemerlangan akademik,pemupukan  sahsiah, dan kokurikulum.

6.5  Peranan Alumni

          Penglibatan, permuafakatan, jalinan kolaboratif  dengan Alumni bagi kemajuan anak-anak mereka di sekolah sentiasa dipergiat.   Persatuan Bekas Pelajar pula menganjurkan Kem latihan kepimpinan pengawas sekolah, motivasi, kerjaya, tamrin, dan memberi bantuan kewangan kepada pihak sekolah.  Alumni sekolah sentiasa datang ke sekolah mengikut batch dan membuat pelbagai program bagi membantu pelajar-pelajar. Mereka berperanan sebagai fasilitator, pengurus, dan penceramah . Komitmen dan iltizam yang mereka tunjukkan sangat membanggakan.
     

Let’s build bridges. Bridges (rather than borders or barriers) can increase students’ chances of successfully navigating sometimes divergent settings. It is essential that we focus on building bridges for students by strengthening relationships and partnerships across systems (home-school-community) and promoting continuity in expectations, goals, and support for learning.    (Joyce Epstein, 2009)






Kesimpulan

        Pendidikan negara sedang mengharungi transformasi ke arah menghasilkan kualiti pendidikan bertaraf antarabangsa.  Pendidikan berkualiti mesti dapat diakses oleh semua untuk membangunkan modal insan holistik bagi menghasilkan tenaga kerja yang   berpendapatan tinggi.   Kajian mendapati bahawa pemimpin sekolah mempunyai impak yang tinggi ke atas pencapaian murid.  Peranan pemimpin  untuk menjayakan transformasi dalam pendidikan amat penting. Jadi, usaha untuk menjana kecemerlangan modal insan berkualiti tidak terhad kepada tanggungjawab pihak sekolah semata-mata. Malah, permuafakatan antara sekolah dengan PIBG, komuniti dan bekas murid merupakan faktor penting dalam menentukan keberkesanan pengurusan sekolah.
Teori Epstein (1992) menjelaskan komuniti sebagai satu konteks asas bagi membolehkan murid belajar. Pihak sekolah, keluarga dan komuniti perlu bekerja secara kolaboratif untuk memastikan keberhasilan akademik dan sosio-emosi murid.  Memang tidak sesiapa menafikan bahawa penglibatan komuniti menjadi alat yang kuat untuk menjana perkhidmatan dan sumber kewangan. Perkongsian sekolah-komuniti berorientasikan matlamat akan dapat mencipta banyak peluang dan menjana sebuah harapan yang gemilang. Dari segi konseptual, sekolah boleh berkolaborasi dengan rakan komuniti, seperti badan korporat dan perniagaan, universiti dan institusi pengajian tinggi badan-badan sukarelawan setempat atau kebangsaan, agensi perkhidmatan sosial dan kesihatan,
dan institusi keagamaan. Rumusan kajian menunjukkan bahawa  sistem sekolah perlu memberi tumpuan kepada komuniti setempat agar berlaku satu lonjakan besar dalam dari segi pencapaian akademik, pemupukan sahsiah dan pencapaian kokurikulum.Kerjasama erat antara sektor awam dan swasta akan mempercepat sistem penyampaian perkhidmatan dan membawa kepada pertambahan kewangan. Para pemimpin sekolah perlu diberikan latihan profesional yang mendalam dan meluas khususnya dalam aspek pengurusan sekolah- komuniti yang berkesan. Dasar baharu mengenai sekolah-komuniti memerlukan penghayatan, kefahaman dan hala tuju yang jelas untuk menggerakkan sekolah mencapai pada tahap prestasi tinggi.


‘Katakanlah( Wahai Muhammad) Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu berjaya.’
                                                                                                               Al- Maidah: 100.






RUJUKAN
Betty Boult ( 2006),  176 Ways to involve Parents: Practical Strategies for Partnering with Families,Corwin Press.

Michael Fullan (2001), The New Meaning Of Educational Change , Dean of the Ontario  Institute in Education of the University of Toronto
 Dato Hj. Abdul Rafie Bin Mahat, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia di dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Pengukuhan Dan Peningkatan Kualiti Pendidikan Dan Profesionalisme Keguruan”  Jurnal Penyelidikan MPBL, Jilid 5, 2004 hal.66

Dr. Agus Sumantri,M.Pd , Membangun  Sekolah  Menjadi Sekolah Berkualitas , Smp Negeri 2 Ciamis , Rintisan Sekolah Bertaraf Internasional  Dan Sekolah Model Adiwiyata Nasional Mandiri
Hoover-Dempsey & Sandler, H.M. (1997) Why do parents become involved in their children’s education? Review of educational research, 67, .3-42
IAB, KPM,Genting Highlands, Kuala Lumpur.

Finn, Jeremy D(1998), Parental Engagement That Makes A difference, Educational Leadership.Sage Pub.

Juma’ata Sonadey bin Mornie  (2012),Timbalan Pengetua, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah , Brunei, Peranan sekolah dalam perhubungannya dengan masyarakat: satu tinjauan peluang dan cabaran.

 
James M. Kouzes  and Barry Z. Posner (2002) dalam Five Practices of Exemplary Leadership, Graw Hill.

Joyce Epstein (2009), Collaborating with the Community-Parents Reaching Out, Sage        Pub.N.York

Kertas kerja Kolokium Antarabangsa  Pengurusan Dan Kepimpinan Komuniti  Pendidikan Anjuran  Institut Aminuddin Baki  Zon Timur 27-29 November 2012 Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kelantan .

Kelly Hunter,  Protecting Children With Internet Parental Controls, Article city.

Lawrence W. Lezotte (1999) : What Effective Schools Do, Harper & Row.

Nasarudin Pandak Osman, Pemuafakatan Strategik dalam Pendidikan, Jabatan Asas Pendidikan & Komuniti IAB Utara, Kedah.

 Michael Fullan (2001), The New Meaning Of Educational Change , Dean of the Ontario  Institute in Education of the University of Toronto

 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Kementerian Pelajaran Malaysia.








).














No comments:

Post a Comment