Sunday, November 28, 2010

PETUNJUK PRESTASI UTAMA (KPI) AMALAN PEMIMPIN SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI

SAHIFUL BAHARI ABD RAHMAN
Pengetua
SM Sains Machang, Kelantan.


Pengenalan
“Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah s.w.t. sekali-kali tidak akan merubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada sesuatu kaum sehingga mereka merubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Surah Al-Anfal: 53:
Kapasiti kepimpinan sekolah serta keperluan dalam meniti cabaran masa hadapan banyak diperbincangkan oleh pengkaji-pengkaji pendidikan. Sebagaimana di negara-negara maju, aspek keperkasaan sekolah dan kecemerlangan kepimpinan sekolah menjadi agenda utama Kementerian Pelajaran Malaysia, kini. Sekolah dan kepimpinan sekolah perlu sentiasa dinamik dan inovatif bagi mengisi harapan masyarakat dan cabaran masa depan negara. Begitu juga, dalam memperkatakan transformasi pendidikan yang membawa maksud suatu perubahan terancang pendidikan melalui Perkembangan Baru Dalam Pendidikan 2010-2012 untuk membangunkan pendidikan secara sistematik dan penyediaan prasarana pendidikan yang berkualiti amat signifikan dengan kualiti kepimpinan sekolah.
Langkah ini selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada April 2009 mempunyai dua matlamat, iaitu menukar kerajaan menjadi lebih berkesan dalam penyampaian perkhidmatannya dalam hal penting kepada rakyat dan kedua, menggerakkan Malaysia ke depan menjadi lebih maju, bersatu serta mempunyai standard kehidupan yang tinggi, selaras dengan misi kerajaan mencapai Wawasan 2020 , iaitu matlamatnya untuk menjadikan Malaysia negara maju. “We are examining our education system to create a curriculum where people learn how to learn so they can continue their education throughout the rest of their lives. The measure of success in 2020 will be the number and quality of our people who can add value to information.” (Dr Mahathir, 1996)


Bagi institusi sekolah, perubahan adalah suatu yang tidak dapat dielakkan kerana ia berfungsi dalam dunia yang sentiasa berubah. Manakala sekolah perlu turut berubah untuk mengadaptasikan dengan pelbagai tuntutan perubahan persekitaran. Pemimpin sekolah perlu sedar bahawa tuntutan perubahan persekitaran yang tidak terancang semakin cepat dan pantas akibat kesan globalisasi dan dunia tanpa sempadan. Malahan, dalam sesetengah aspek, perubahan tidak terancang ini adalah lebih cepat berbanding perubahan terancang. Hal ini juga memberikan dampak yang besar terhadap keupayaan kepimpinan dalam menerajui perubahan di sekolah.
Kajian tokoh pendidikan (Harris,B.,2007) mengenai sekolah dan keberkesanan kepimpinan juga menunjukkan bahawa organisasi sekolah yang semakin kompleks memerlukan anjakan amalan dan penyesuaian dari perspektif kepimpinan. Pemimpin sekolah perlu mengubah imej dengan membangunkan kapasiti dan potensi kepimpinan guru yang mampu membuat kolaborasi dalam menyelesaikan permasalahan sekolah. Permasalahan dan kemajuan sekolah bukan lagi terletak pada bahu seseorang pemimpin yang bersifat ’heroisme’ tetapi perlu dihayati dan digalas bersama oleh semua pemimpin dalam institusi tersebut. Oleh sebab itu, dalam memenuhi dan mengimbangi pelbagai stail kepimpinan iaitu,
1.Kepimpinan managerial
2.Kepimpinan instruksional
3.Kepimpinan distributif
4.Kepimpinan transformasi
5.Kepimpinan lestari (sustainable)
Stail kepimpinan ini mempunyai potensi yang besar dalam menyumbang kepada proses perubahan, penambahbaikan dan kemajuan sekolah. Pada masa sekarang kita ingin membina kapasiti, iaitu
1. Membangun pengetahuan baru, kemahiran, dan kompetensi
2. Sumber baru (masa, idea, dan bahan)
3. Perkongsian identiti baru dan motivasi untuk sama-sama bekerja yang akan membawa perubahan yang lebih hebat
4. Kolektif dan berterusan

1. Mengapa perlunya Petunjuk Prestasi Utama?
Perdana Menteri dalam ucapan pada 27 Julai 2009 di Majlis Perhimpunan Anggota Pentadbiran dan Penjawat Awam serta GLC di Putrajaya membawa gagasan SATU MALAYSIA: RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN” "One Malaysia: People First, Performance Now". Untuk merealisasikan hasrat Perdana Menteri pihak sekolah memainkan peranan penting bagi menjayakan cita-cita murni ini. Kira-kira tiga minggu selepas itu, pada 28 April, beliau telah mengutarakan Key Performance Indicator atau Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicator) ringkasnya KPI, yang akan menjadi piawai kepada pencapaian anggota pentadbiran dan penjawat awam. Ini bermakna, KPI sangat perlu
1.Untuk memotivasi organisasi, iaitu mengukur prestasi tinggi individu dan kumpulan serta mengukur perubahan tabiat mereka.
2.Memantau organisasi, iaitu mengukur kemajuan strategi dan mengukur pemberian ganjaran secara adil dan memberi pengiktirafan kepada program

Sistem pengukuran prestasi yang baik akan memberikan gambaran yang jelas mengenai pengukuran sesuatu matlamat berdasarkan kepada perancangan strategik di sekolah. Dengan adanya komitmen pihak sekolah terhadap pengukuran, ia akan membentuk satu budaya yang mementingkan pencapaian, iaitu setiap individu bekerja kuat untuk memacu ke arah mencapai visi dan misi sekolah. Kegagalan menghasilkan sistem pengukuran yang betul akan memberikan kesan ygn tidak baik kepada prestasi organisasi. Situasi ini akan menyebabkan segala usaha ditumpukan kepada prestasi organisasi.
Charles Parker (2000) telah merumuskan penggunaan KPI adalah untuk
1. Mengenal pasti kejayaan
2. Memenuhi keperluan pelanggan
3. Membantu memahami proses
4. Mengenal pasti masalah
5. Memastikan keputusan dibuat berdasarkan fakta bukan semata-mata emosi
6. Menunjukkan penambahbaikan yang dirancang benar-benar tercapai.
Dalam usaha membangun dan meneruskan gagasan ’Satu Malaysia’, selain visi dan misi sekolah, penetapan Petunjuk Prestasi Utama yang komprehensif adalah elemen penting bagi keberkesanan kepimpinan sekolah. Pembinaan suatu Petunjuk Prestasi Utama yang efektif memerlukan kerjasama erat dalam kalangan pemimpin di sekolah. Para pemimpin sekolah bukan sahaja perlu dapat mengukur prestasi tetapi juga prestasi yang dapat memenuhi tuntutan dan ekspektasi masyarakat terhadap organisasi yang dipimpin. Dalam menangani organisasi sekolah yang semakin kompleks, kepimpinan bersifat kolektif ini mampu membina KPI yang kredibel, sepadu dan dapat diukur secara kuantitatif mahupun kualitatif. Mike Schmoker dalam bukunya Results: the Key to Continuous School Improvement , terdapat tiga konsep yang menjadi asas pada suatu keputusan penambahbaikan yang positif iaitu kerja pasukan yang bermakna, matlamat yang dapat diukur dan pengutipan serta penganalisisan data prestasi yang berterusan. Dalam mengukur suatu pencapaian prestasi, data yang berbentuk kualitatif adalah lebih bermakna di samping kuantitatif. Umpamanya, dalam konteks ini, suatu kejayaan dalam menyemarakkan semangat patriotik dan mengukuhkan perpaduan kalangan pelajar akan lebih bererti jika pengukuran kualitatif terhadap amalan dan penghayatan mereka dapat dilakukan oleh pemimpin sekolah.

Pelaksanaan pengukuran memerlukan agensi mewujudkan KPI dan menetapkan sasaran prestasi bagi setiap KPI sebagai asas untuk mengukur prestasi perkhidmatan masing-masing. KPI yang diwujudkan hendaklah merangkumi aspek kecekapan dan keberkesanan proses-proses utama dalam menghasil dan menyampaikan perkhidmatan kepada pelanggan serta aspek kepuasan hati pelanggan terhadap perkhidmatan yang diterima.(PKPA, 2005)

. Kelayakan kepengetuaan atau pemimpin sekolah adalah menjadi suatu fokus utama dalam era memperkasakan sekolah. Tekanan dan harapan yang semakin meningkat dalam usaha menjadikan sekolah mempunyai akauntabiliti tinggi terhadap pencapaian pelajar kian menjadi keutamaan. Beberapa persoalan yang berkaitan dengan skil kepimpinan pengetua yang signifikan dengan keberkesanan sekolah telah menjadi isu perdebatan di negara maju malahan di negara ini. Dalam konteks memperkasa kepimpinan sekolah, tidak dinafikan bahawa latihan, pengalaman dan kelayakan seseorang pemimpin sekolah sangat penting. Jelas, keupayaan dan peranan pemimpin sekolah amat signifikan dalam merencana ke arah mewujudkan sekolah yang berkesan dan maju. Tetapi, pengetahuan tentang cara yang terbaik untuk menyediakan pemimpin sekolah yang benar-benar berkelayakan tidak banyak diketengahkan. Ada beberapa persoalan yang fundamental perlu diketengahkan. Pertama, apakah elemen penting yang perlu ada pada seseorang pemimpin sekolah? Kedua, apakah program dan latihan bercorak pembangunan pemimpin yang dibina benar-benar berjaya melahirkan pemimpin yang berwibawa dan berkesan?
Kepimpinan institusi sekolah juga perlu selari dengan aspirasi negara. Oleh sebab itu menjadi kewajipan pemimpin sekolah merealisasikan gagasan ’Satu Malaysia’ sebagai kesinambungan perjuangan dan hala tuju pendidikan negara. ’Rakyat Didahulukan Dan Pencapaian Diutamakan’ adalah satu slogan dan komitmen yang turut didokongi bersama oleh para kepimpinan sekolah. Perkara ini ditegaskan juga dalam ‘Developing World Class Enlightened Leadership Model’ Action of an Enlightened Leadership style,
Inspiring, compelling vision
Positive discipline
People first
Self-responsibility
Expectation for result
Malahan sejarah telah membuktikan bahawa para pemimpin guru telah turut mempelopori perjuangan dan memainkan peranan penting dalam membentuk landskaps perpaduan dan kemajuan negara. Dalam konteks gagasan ini, perpaduan dan kemajuan sesuatu sekolah adalah terletak pada bahu kepimpinan sekolah yang berkesan. Manakala satu petunjuk sekolah berkesan adalah dapat mengukur sejauh mana kepimpinan sekolah itu dapat memimpin secara kolektif, menjana pengurusan site based dan membuat keputusan bersama. Apatah lagi pemimpin sekolah perlu mempunyai visi bersama dalam memartabatkan pendidikan kita kepada pendidikan bertaraf dunia. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah sekian lama membina misi untuk membangunkan sistem pendidikan yang bertaraf dunia bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi aspirasi Negara Malaysia. Akta Pendidikan 1996 jelas menyatakan;
“DAN BAHAWASANYA adalah menjadi suatu misi untuk menghasilkan sistem pendidikan yang bertaraf dunia dari segi kualiti dan memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan mencapai aspirasi negara Malaysia :”
(Malaysia, 1996:11).


2. Kepentingan KPI

KPI merupakan satu amalan penting dalam pengurusan prestasi untuk menilai dan mengukur sasaran yang ditetapkan oleh sesuatu organisasi seperti kementerian atau agensi kerajaan secara objektif. KPI telah diguna pakai oleh banyak syarikat korporat dan didapati sebagai radas timbangan kerja yang sangat berkesan. Malah, mekanisma ini juga diterima pakai dengan jayanya oleh kerajaan di negara-negara maju seperti Britain, Australia dan Kanada. Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri juga telah mengumumkan enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional atau National Key Results Area, singkatannya NKRA. Ia menjadi bidang-bidang yang diberi keutamaan di peringkat kebangsaan.

Beliau telah memperkenalkan NKRA dan KPI adalah bagi memastikan elemen kebertanggungjawaban yang serius, wujud dalam kalangan anggota pentadbiran dan juga penjawat awam. Hal ini demikian kerana PM tidak mahu rakyat sebagai klien utama berada dalam keadaan teraba-raba dan samar, akan apakah inisiatif, rencana dan hala tuju pembangunan yang sedang digembleng oleh Kerajaan. PM mahu segala rancangan pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat ini dimaklum dan diketahui oleh rakyat agar mereka dapat memantau dan menilai pencapaian sasaran seperti yang ditetapkan.

  Lantas, hari ini beliau telah meletakkan KPI kepada enam jurusan NKRA tersebut. Untuk setiap NKRA, akan dikenal pasti pula KPI-KPI-nya dengan sasaran secara khusus agar dapat diukur. Dengan adanya KPI ini, maka segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang dipateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan. Perincian setiap satu dari enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional yang telah diumumkan tempoh hari.
NKRA yang ketiga  – Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkemampuan
 Seperti yang kita semua maklum, ilmu pengetahuan menjadi kandil penyuluh yang menerangi kegelitaan hidup di dunia. Malah ilmu menjadi prasyarat kepada pembikinan mana-mana tamadun yang pernah terbina dan yang menentukan kelansungannya. Dalam konteks ini golongan pendidik merupakan pendokong kuat falsafah pendemokrasian pendidikan, bahawa, kita tidak mungkin dapat menjanjikan outcome yang sama namun kita perlu komited dalam menyediakan peluang yang saksama pada garis permulaan. Jelasnya, kita akan terus mengiktiraf dan memberikan ruang kepada yang terbaik dan terbilang tanpa mengira latar keturunan mahupun taraf sosio ekonomi. Dari itu, dalam bidang pendidikan, kita mahu memastikan anak-anak kita akan mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Mahu tidak mahu, generasi muda Malaysia perlu berilmu, mesti berfikiran kreatif, berinovatif, bercirikan nilai murni serta mampu bersaing di persada antarabangsa yang penuh cabaran ini.( Dato Seri Najib Tun Razak, 2009)

Jadi, seiringan pesan orang tua-tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya, pihak kerajaan telah memberi keutamaan untuk menyediakan pendidikan yang terbaik bermula daripada peringkat asas iaitu peringkat prasekolah ke peringkat tinggi. Untuk itu, pembangunan pendidikan sekolah telah dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana.

3. Konsep dan pengukuran KPI

Sistem pengukuran prestasi menggunakan KPI di sekolah adalah penting dan perlu dilaksanakan di sekolah. Pelbagai tuntutan terhadap sekolah dalam amalan-amalan terbaik dalam pengurusan, kecemerlangan akademik, sahsiah terpuji, disiplin yang baik, kokurikulum, kepimpinan, kompetensi guru yang tinggi dan lain-lain memerlukan sekolah menggunakan strategi bijak yang berasaskan prestasi.
Performance indicators are measures that describe how well a program is achieving its objectives. Ini bermakna KPI merupakan satu sistem pengukuran yang mudah, berkesan dan membantu organisasi menjelaskan dan mengawal tahap kemajuan sesuatu proses perkhidmatan yang disampaikan kepada pelanggan selaras dengan misi sesebuah organisasi (PKPA,2005) Prinsip-prinsip KPI ialah meletakkan sasaran, boleh diukur dengan angka, diukur dalam keadaan normal dan selaras dengan misi dan visi organisasi. Maklumat ini akan digunakan sebagai tanda aras yang akan menjadi komponen utama sesebuah organisasi bagi mencapai konsep amalan terbaik (best practices) KPI adalah ukuran spesifik dalam bidang tertentu bagi menentukan prestasi dalam sesebuah organisasi. Tujuan KPI adalah untuk memberikan kejayaan jangka panjang kepada organisasi, ia harus diukur secara berterusan dan mempunyai hubung kait dengan bidang yang ingin dilakukan penambahbaikan. (Rusmini,2006).
Perkara ini dijelaskan lagi oleh Kaplan (2003):
• If we can’t measure our processes, we can’t manage our processes
• If we can’t manage our processes, we can’t change our processes for improvement
• If we can’t improve our processes, we can’t meet or exceed our customers’ expectations

Pengukuran KPI
• Diukur berasaskan output atau hasil berbentuk pencapaian dalam bidang akademik dan bukan akademik
• Diukur melalui proses pengurusan atau pentadbiran sekolah yang efektif
• Diukur dari segi kesaksamaan (equity) untuk mendapatkan pendidikan tanpa mengira latar belakang pelajar, dan SES pelajar
• Diukur dari segi kemajuan akademik semata–mata yang meningkat dari tahun ke tahun yang ditunjukkan melalui adanya nilai tambah (value added) kepada kebolehan pelajar.
• Kebolehan menyelesaikan masalah, mengendalikan konflik, berfikir di luar kotak, kreatif dan inovatif.
• Bersikap terbuka, positif, adil, amanah, jujur dan berani mengambil risiko
• Hubungan yang luas, di peringkat nasional dan global
• Pengetahuan tentang ICT
• Pengetahuan tentang pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas
• Kebolehan membuat kajian
Untuk meningkatkan kejayaan dalam pengurusan prestasi kita perlu untuk memilih pengukuran yang tepat, bukan sekadar melaksanakan sahaja.
Kriteria KPI yang baik perlu dilengkapi butiran berikut:
1..Objektif- latihan/pengajaran berkualiti tinggi
2.Petunjuk/indikator-Kepuasan pelajar melalui pengalaman latihan/pengajaran
3.Pengukuran-Kepuasan pelanggan: skala1-5
4.Sasaran yang hendak dicapai/target: skala 1-5
Langkah ini amat baik jika dibandingkan dengan rakan penanda arasan (benchmark partners). Bagi mewujudkan KPI dan sasaran prestasi di sekolah beberapa perkhidmatan teras dan fungsi boleh diambil daripada semua aspek seperti pengurusan kurikulum dan pengajaran, disiplin, kepimpinan, perkembangan staf, pengurusan kewangan, pengurusan persekitaran sekolah dan pengurusan hubungan dengan pelanggan.Perkara ini lebih jelas jika kita melihat rajah di bawah.


Model Pengukuran Prestasi Berasaskan Proses



yang produktif melaluengetahuankema





Kaji
Semula
Nilai Prestasi
Secara Agensi
Berterusan



Penetapan KPI dan sasaran prestasi, pihak sekolah perlu mengumpul maklumat dan menilai pencapaian dengan membuat perbandingan pencapaian sebenar dengan sasaran yang perlu dikenal pasti serta analisis sebab-sebab berlakunya jurang kemerosotan dan seterusnya mencadangkan tindakan penambahbaikan unbtuk meningkatkan prestasi. Jadi, penggunaan KPI di sekolah sangat penting bagi memastikan tahap prestasi telah mencapai matlamat bagi memenuhi kehendak pelanggan dan pihak yang berkepentingan. Aspek ini mempunyai hubungan dengan rapat dengan sistem penyampaian perkhidmatan dalam penjawat awam.
Sistem Penyampaian Perkhidmatan ialah satu cara atau kaedah untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan kaunter atau keluaran mengikut standard kualiti bagi memastikan dan memenuhi kehendak atau kepuasan pelanggan (stakeholder). Kecekapan dan keberkesanan pengurusan pendidikan akan meningkatkan Sistem Penyampaian Perkhidmatan yang cepat, tepat, dan menepati kehendak pelanggan di sekolah. Punca utama kecemerlangan sesebuah sekolah adalah apabila sekolah itu dapat memberi kepuasan kepada stakeholders dan pelanggan . Takrif kepuasan pelanggan adalah apabila hasil atau output sekolah itu telah memenuhi kriteria-kriteria yang telah digariskan oleh stakeholders. Dampaknya,sudah pasti membawa kebaikan dan meningkatkan tahap perkhidmatan, menambahkan produktiviti dan kualiti anggota-anggota perkhidmatan awam. Definisi kepuasan pelanggan ialah darjah atau tahap yang memenuhi keperluan pelanggan ( the degree to which the customer’s requirement have been fulfilled.(1SO 9000:2000) Standard kualiti yang dapat memenuhi kemahuan dan cita rasa pelanggan
Konsep Piagam Pelanggan ialah
• satu komitmen bertulis, jabatan/agensi Kerajaan terhadap penyampaian keluaran atau perkhidmatannya kepada pelanggan (termasuk stakeholders).
• Satu jaminan jabatan/agensi kerajaan untuk menyampaikan keluaran atau perkhidmatan mengikut standard kualiti yang ditetapkan.








Pelanggan-pelanggan dalam organisasi yang perlu diberi perhatian


















Beberapa contoh jadual : isu/ strategi, matlamat strategi, objektif, KPI dan sasaran prestasi.
Kepuasan hati pihak pelanggan (stakeholders) dengan perkhidmatan yang ditawarkan.
Contoh 1

OBJEKTIF (Sub-KRA 3) KPI SASARAN PENCAPAIAN INISIATIF/STRATEGI
TOV 2009 2010 2011

3.Meningkatkan kualiti pengurusan pelanggan
KPI 1

% aduan dan maklum balas pelanggan yang diambil tindakan*



100%

100%

100%

100%
1Mempelbagaikan kaedah memperoleh aduan
· Bancian
· Mengedar borang maklum balas

2Penguatkuasaan prosedur pengendalian aduan
· Tubuh JK Aduan & Maklum balas
· Mengemaskini prosedur aduan pelanggan
· Pematuhan kepada prosedur (PK SI 07)














KPI 2

% aduan yang diambil tindakan berdasarkan tempoh yang ditetapkan



NA

100%

100%

100%
KPI 3

% aduan yang selesai dalam tempoh 15 hari



100%

100%

100%

100%










Contoh 2
ISU/STRATEGI OBJEKTIF KPI SASARAN
BIDANG KURIKULUM 09
10 11 12 09 10

Meningkatkan Kecemerlangan Akademik Meningkatkan Pencapaian
Cemerlang dalam
PMR, SPM
dan
STPM %
Keputusan
Peperiksaan
PMR 80.9 82.0 84.0 90.0 95.0 100
%
Keputusan
Peperiksaan
SPM 94.8 96.0 97.0 98.0 99.0 100
%
Keputusan
Peperiksaan
STPM 97.5 98.0 100 100 100 100











Contoh 3
STRATEGI MENINGKATKAN PENGURUSAN KURIKULUM

KPI Target BULAN PENCAPAIAN
Mac Mei Jul Nov JUMLAH
1 Bilangan Latihan Pedagogi dan P&P (sekolah) 20
2 Bilangan Bahan / Modul P&P yang dihasilkan 20
3 Bilangan kajian tindakan 20
4 Bilangan latihan P&P bersama Guru Cemerlang 20
5 Peratus Pencerapan P&P guru (e-Cakna) 100%
6 Peratus guru mencapai tahap baik/cemerlang dalam P&P (e-Cakna) 80%
7 Peratus guru yang dicerap mengintegrasi ICT dalam P&P 50%
8 Peratus pengurusan Ketua Panitia / Ketua Bidang di tahap cemerlang 50%





Bagi organisasi pendidikan sistem pengukuran prestasi dengan menggunakanKPI harus diamalkan sebagai satu strategi dalam pengurusan. Sistem pengukuran prestasi yang menggunakan KPI di sekolah adalah penting dan perlu dilaksanakan. Namun begitu terdapat halangan-halangan yang dihadapi bagi menjayakan sistem ini.
Faktor-faktor yang menyebabkan Sistem KPI tidak berjaya di sektor awam
1.Orang bawahan percaya pihak pentadbir telah menerima tekanan atau arahan daripada pihak atasan untuk melaksanakan sistem ini..
2.Orang bawahan yang menyumbang kepada petunjuk(indicators) tidak dapat melihat kerelevanan sistem ini dalam kehidupan pekerjaan.
3. Orang bawahan menganggap sistem ini terlalu membebankan dan sukar untuk dilaksanakan.
4.Pengurus sekolah tidak menggunakan petunjuk (indicator) untuk penambaikan, dokumen itu hanya untuk disimpan.
5.Orang bawahan berasa terlalu membebankan dan menyulitkan.
6. Orang bawahan menganggap pengukuran tidak penting, yang utama ialah hasilnya.
7.Orang bawahan akan mudah lupa dengan pengukuran, mereka beranggapan perkara itu hanya dibincangkan semasa akhir tahun.
8.Kadang-kadang data yang dipungut tidak lengkap, tidak mencukupi atau melibatkan kos yang tinggi.
9.Kadang-kadang hasil yang diperoleh mengecewakan
(Bustaman,2009)
Walaupun ada cabaran-cabaran ini, sebagai pemimpin sekolah perlu menanganinya dengan bijak. Hal ini demikian kerana pihak kerajaan telah menyarankan budaya kerja berasaskan prestasi dengan menggunakan petunjuk-petunjuk prestasi utama (KPI) diterapkan di sekolah bagi tujuan untuk meningkatkan kualiti penyampaian dalam perkhidmatan. Selaris dengan visi, misi, fungi sekolah, setiap organisasi perlu mengukur prestasi perkhidmatan berkenaan yang diberikan untuk memastikan semua perkhidmatan disampaikan kepada pelanggan dengan cemerlang dan ini secara tidak langsung memberi gambaran yang jelas mengenai prestasi agensi secara keseluruhannya.
4. Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)
Bersesuaian dengan konsep pencapaian diutamakan pula, kepimpinan sekolah di peringkat rendah dan menengah perlu menyedari mereka adalah peneraju tapak semaian modal insan nasional. Berkaitan itu, kerajaan dengan ini ingin menawarkan new deal atau satu tawaran baru (bai’ah)  kepada semua pengetua dan guru besar sekolah dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.
  Sebagai projek perintis, sebanyak 100 buah sekolah, terdiri daripada jenis harian biasa, sekolah bestari, kluster, trust school atau sekolah amanah dan sekolah berasrama penuh,  akan dikenal pasti untuk diangkat menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi.(SBT) Dengan ini, kita akan menyediakan persekitaran pelajaran dan pembelajaran yang kondusif serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memacu lagi  pencapaian pelajar. Semua rencana ini akan dilaksanakan dalam tempoh 3 tahun sebelum penamat 2012.
Dua puluh buah sekolah-14 buah sekolah menengah dan enam buah sekolah rendah-diiktiraf sebagai kumpulan pertama SBT pada 29 Januari 2010 yang lalu. Daripada 14 buah sekolah menengah itu, 10 daripadanya sekolah berasrama penuh, termasuklah Malay College Kuala Kangsar, Kolej Tungku Kursiah, Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya dan Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Sekolah menengah harian termasuklah SMK Aminuddin Baki KL dan SMK(P) Sri Aman Petaling Jaya. Antara sekolah rendah yang tersenarai termasuklah SK Zainab (2) dan SK Convent Kota Taiping. SBT diharapkan dapat mengekalkan dan meningkatkan prestasi serta menjadi pemacu kecemerlangan pendidikan negara.Sekolah tersebut juga merupakan sekolah model dan mempunyai tanggungjawab sosial untuk membimbing sekolah yang lain meningkatkan prestasi masing-masing.

Penganugerahan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) adalah kepada sekolah terbaik di Malaysia manakala Sekolah Amanah (Trust School) bertujuan merapatkan jurang pencapaian. SBT ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti tersendiri dan unik serta menyerlah dalam aspek pendidikan. Sekolah ini mempunyai tradisi budaya kerja yang cemerlang dan menjadi pilihan semua. Sekolah ini sentiasa berjaya melahirkan modal insan yang holistik serta mampu bersaing di persada antarabangsa. SBT merupakan sekolah terbaik di Malaysia, yang dipilih mengikut kriteria yang ketat dan mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa. Pencapaian akademik yang cemerlang, iaitu skor komposit yang berasaskan Gred Purata Sekolah (pemberatan 70%) dan skor vertifikasi SKPM (pemberatan 30%)
1. Personaliti unggul-rekod pembangunan kejayaan individu dan pemimpin yang berpengaruh
2. Penyertaan dan pencapaian di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
3. Jalinan dengan Institusi Pengajian Tinggi- jalinan dengan universiti dalam program pemindahan kredit, kajian tindakan bersama, perkongsian kemudahan dan prasarana.
4. Jaringan kukuh dengan sekolah tempatan dan luar negara (contoh pertukaran guru dan pelajar) komuniti, organisasi awam dan swasta.
5. Penandaarasan kebangsaan dan antarabangsa di peringkat kebangsaan dengan menggunakan piawaian antarabangsa (contoh PISA, TIMSS)

5. Objektif sub-NKRA Sekolah berprestasi Tinggi

1.Mengangkat kualiti sekolah-sekolah yang terbaik

Meningkatkan kualiti pencapaian institusi pendidikan melalui peningkatan tahap autonomi dan akauntabiliti, membenarkan sekolah melaksanakan inovasi dalam pengurusan masing-masing( pemusatan dalam aspek kurikulum dan anggota perkhidmatan)

2.Menghasilkan pelajar yang cemerlang
Sebagai tempat untuk melhirkan pelajar cemerlang bertaraf antarabangsa dan yang menjadi personaliti unggul dalam semua bidang

3.Merapatkan jurang antara sekolah-sekolah dalam sistem
Sebagai inspirasi kepada sekolah-sekolah lain utnuk membangunkan kecemerlangan tahap yang lebih tinggi melalui bimbingan dean jaringan antara sekolah tersebut.
Sesungguhnya, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia komited melakukan proses transformasi melalui pengurusan berteraskan pencapaian dengan menggunakan kaedah penetapan NKRA dan pengukuran KPI. Ini semua dilakukan bagi memastikan pada analisis akhir rakyatlah yang akan memperoleh faedahnya.
Dengan pemantapan latihan guru, penerapan budaya inovasi dalam pengajaran dan pemelajaran, pemberian ganjaran berteraskan prestasi dan peranan aktif ibu bapa, kerajaan meletakkan keyakinan terhadap setiap sekolah untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pemelajaran. Tanggungjawab seterusnya tergalas di bahu guru dan pemimpin sekolah untuk sentiasa mencabar minda, berfikir di luar kotak dan bekerja di luar cara biasa bagi meningkatkan prestasi sekolah.
(Muhyiddin Mohd Yassin, 2010)

Mengikut Stoll & Fink (1996) terdapat beberapa perkara yang mesti dilakukan oleh sekolah sekiranya sekolah itu hendak maju (improve):
1. Meningkatkan hasil pelajar (student outcomes)
2. Memberi fokus kepada P&P
3. Membina kapasiti untuk menghadapi perubahan tanpa mengira sumbernya.
4. Mendefinisikan hala tuju sendiri
5. Menilai budaya dan kerja semasa untuk membangun norma-norma budaya positif.
6. Mencipta strategi-strategi bagi mencapai matlamat sekolah.
7. Menyatakan keadaan-keadaan dalaman yang boleh meningkatkan perubahan.
8. Mengekalkan momentum pada waktu sukar (periods of turbulence).
9. Memantau dan menilai proses, perkembangan, pencapaian & pembangunan sekolah.
Sekolah yang hebat pasti mempunyai etos (watak) yang hebat. Ini bermakna sekolah yang cemerlang akan menghasilkan dan mewujudkan etos yang cemerlang di sekolah. Daripada kajiannya, terdapat lima ciri utama yang umum jelas terdapat dalam sekolah berkenaan, iaitu
1.Ketaatsetiaan warga kepada pengetua/ guru besar organisasi sekolah
2.Komitmen tinggi kepada hala tuju organisasi sekolah
3.Semangat berpasukan warga kepada organisasi/sekolah
4.Profesionalisme dalam segala tugasan
5.Semangat tanggungjawab bersama
Untuk bawa perubahan kepada ahli-ahli organisasi/institusi, sekolah perlu strategi ke arah:
I. Semangat sedia berinteraksi/berbincang/musyawarah
ii. Semangat sedia belajar yang baru secara berterusan
iii. Semangat sedia terus memperbaiki keupayaan diri
iv. Sedia menerap nilai murni dalam diri/pelajar/sekolah
Pengajaran daripada hasil kajian itu ialah:
· Perlu melihat sekolah sebagai satu organisasi budaya terancang
· Sebagai satu budaya tersendiri
· Sebagai satu kuasa pembawa perubahan
Untuk mempengaruhi gerak lakuan pelajar membentuk watak dan pekerti pelajar membina gelagat pelajar yang unggul (Hussein Ahmad,2009)

6. Amalan-amalan terbaik pemimpin SBT
Edmonds (1979), mendapati lima faktor yang wujud di sekolah-sekolah berkesan iaitu;

1) kepimpinan dan ikim sekolah yang positif
2) harapan yang tinggi dalam penguasaan kemahiran asas
3) kekerapan penilaian
4) peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru
5) kemudahan fizikal sekolah.
Pemimpin sekolah merupakan faktor penting bagi menjana sekolah berprestasi tinggi. Dengan karisma, keperibadian, bakat, kemahiran dan kebolehan mereka akan dapat memimpin, membimbing dan membawa semua warga sekolah ke arah satu matlamat, iaitu memacu kecemerlangan sekolah. Sebagai peneraju utama di sekolah mereka berkemampuan mempengaruhi dan melaksanakan semua program dan aktiviti yang telah dirancang untuk mencapai matlamat dan objektif sekolah. Sehubungan dengan itu, sebagai pemimpin mereka seharusnya sentisa berusaha dan belajar bagi mempertingkatkan kualiti kepimpinan mereka. Kemahiran-kemahiran pemimpin yang perlu ada dalam menangani perubahan, iaitu tiga kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh pemimpin, iaitu :
• Kemahiran konseptual
• Kemahiran teknikal
• Kemahiran hubungan kemanusiaan
1. Kemahiran konseptual ialah kemahiran menganalisis, berfikir secara logik, kritis, kreatif dalam pengeluaran idea dan penyelesaian masalah
2. Kemahiran teknikal berkaitan dengan kaedah-kaedah, prosedur dan teknik-teknik untuk menjalankan aktiviti khusus serta kebolehan menggunakan peralatan yang digunakan dalam menjalankan aktiviti tersebut
3. Kemahiran hubungan kemanusiaan ialah kebolehan berhubung dengan orang lain serta boleh memahami perasaan dan sikap orang lain. Contohnya, kemahiran berkomunikasi dengan jelas dan berkesan.
Kemahiran kepimpinan berkesan pula perlu bijak dalam aspek,
1. Komunikasi
2. Menangani Konflik
3. Menyelesaikan Masalah dan Membuat Keputusan
4. Perundingan
Pemimpin sekolah yang berkualiti perlu dan mempunyai pengetahuan tentang kurikulum, pedagogi, psikologi pembelajaran, rekabentuk pengajaran, pentaksiran dan penilaian, pentaksiran alternatif, penggunaan ICT dalam P&P, piawaian dan penanda aras pendidikan (educational standards and benchmarks), dan pengurusan dan pentadbiran sekolah.
Kemahiran berkomunikasi (BI & BM) dengan pihak-pihak dalam & luar – melalui bercakap, menulis surat, email dan website; kemahiran interpersonal, dan sosial; kemahiran mendengar & memberi nasihat/bimbingan. Di samping itu, pemimpin sekolah perlu
n Kebolehan menyelesaikan masalah, mengendalikan konflik, berfikir di luar kotak, kreatif dan inovatif.
n Bersikap terbuka, positif, adil, amanah, jujur dan berani mengambil risiko
n Hubungan yang luas, di peringkat nasional dan global
n Pengetahuan tentang ICT
n Pengetahuan tentang pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas
n Kebolehan membuat kajian
Untuk menjadi seorang pemimpin yang benar-benar boleh mempengaruhi subordinat supaya menjadi pengikut yang setia bukanlah suatu perkara yang senang. Untuk itu seseorang pemimpin hendaklah menguasai kemahiran- kemahiran tertentu, mengamalkan tingkah laku yang sesuai dengan memadankannya dalam konteks tertentu.


Hubungan kepimpinan dengan aspek-aspek di atas boleh dilihat gelung
Konsep Kepimpinan 360º di bawa


5. Kepimpinan 360º
Dalam bukunya,”Leading From the Middle, The 360º Leader ,”John C.Maxwell merumuskan nilai-nilai kepimpinan 360º , iaitu
1.Mempunyai pasukan pemimpin lebih baik daripada mempunyai seorang pemimpin
2.Pemimpin diperlukan di setiap tahap dalam organisasi
3.Kejayaan memimpin satu tahap adalah satu kelayakan untuk memimpin pada tahap seterusnya
4.Pemimpin yang baik pada tahap pertengahan akan menjadi pemimpin yang lebih baik pada tahap atas.
5.Pemimpin 360º mempunyai kualiti, iaitu kualiti diri yang diperlukan oleh setiap organisasi
Sifat pemimpin 360 ialah dia memimpin dirinya dengan cemerlang. Berfikir dan mendengar serta komunikasi berkesan, Berperanan sebagai sahabat. Dia melihat skop yang luas, serba boleh dan fleksibel. Dia sanggup melakukan tugas yang orang lain tidak sanggup melakukannya. Dia menjadikan dirinya lebih baik hari esok daripada hari ini. Dia saling melengkapi rakan pemimpin bukan bersaing dengan mereka. Dia memberi perhatian keadaan sekeliling dan melihat setiap ahli sebagai sempurna, bukan melihat aspek negatif. Bangunkan setiap ahli pasukan sebagai individu.Memberi latihan bertaraf dunia. Meletakkan setiap orang dalam bidang mengikut kekuatan masing-masing. Berkongsi visi bersama dan menghargai kejayaan bersama.Tidak berpura-pura bahawa dia sempurna.
Trend kepimpinan kini perlu berubah mengikut zaman kerana warga organisasi sekolah terdiri daripada staf-staf yang berpendidikan tinggi. Mengurus dan memimpin dengan mengawal proses kerja sahaja adalah tidak sesuai dalam organisasi sekolah masa ini. Matlamat organisasi bukan sahaja memikirkan tentang prestasi akademik sahaja tetapi sesebuah organisasi yang ingin terus berjaya perlu memikirkan tentang proses untuk terus kekal dan stabil serta melahirkan modal insan atau kemenjadian pelajar yang bersahsiah terpuji, berbudi bahasa, berdisiplin, berdaya saing, kepimpinan yang mantap dan kemahiran bersosial.

School leaders have a moral responsibility to make a difference in the lives of students. They should be concerned about closing the gap between high-performing and lower-performing students in their schools. (Fullan, 2002)
Sekolah Cemerlang sebagai “…As one in which students progress further then might be expected from consideration of its intake. An effective school thus adds extra value to its student’s outcomes in comparison with school serving similar intakes.” (Mortimore, 1995)
Abdul Shukor Abdullah (1998) menyatakan ‘Sekolah Cemerlang adalah sekolah yang mencapai tahap terbaik, bermutu dan terunggul dalam semua bidang berkaitan dengan akademik, sahsiah, pengurusan, perhubungan, infrastruktur dan kepemimpinan’.
Beberapa ciri kritikal kapasiti kepimpinan ke arah kemajuan dan kecemerlangan sekolah ialah seperti berikut:
1. Penyertaan berasaskan kemahiran yang luas (Broad-based skilful involvement).
2. Penggunaan maklumat berasaskan inkuiri (Inquiry-based use of information) untuk memaklumkan keputusan dan amalan.
3. Peranan & tanggungjawab yang menggambarkan penyertaan & kolaborasi yang luas.
4. Amalan secara reflektif/inovasi sebagai norma.
5. Pencapaian pelajar yang tinggi – dimensi kerja secara kolaboratif (pembelajaran & pengajaran untuk pelajar) dan keberhasilan pelajar (student outcome).

Manakala James M. Kouzes and Barry Z. Posner,2002 dalam bukunya’ Five Practices of Exemplary Leadership’ meletakkan lima amalan terbaik yang perlu dihayati oleh pemimpin sekolah untuk meningkatkan prestasi sekolah, iaitu
1. Model the way
2. Inspire a shared vision
3. Challenge the process
4. Enable others to act
5. Encouraging the heart
6. Kepimpinan 5 Hierarki
From Good To Great (Collins, 2001) pula mengutarakan lima tahap hierarki kepimpinan dalam sesebuah organisasi. Beliau menyelidiki (kajian lima tahun) bagaimana syarikat yang baik membangun menjadi sebuah syarikat yang terkemuka. Buku ini memperkenalkan satu istilah baru dalam kepimpinan – Pemimpin Tahap Lima. Tahap Lima merujuk kepada tahap tertinggi dalam satu hirarki kebolehan eksekutif. Pemimpin pada empat tahap yang lain itu mungkin berjaya tetapi tidak berkeupayaan untuk meningkatkan organisasi ke tahap gemilang. Menurut Collins, humility atau kerendahan diri adalah kunci kepada kepemimpinan tahap 5. Formulanya adalah Humility + Will = Level 5



Hierarki ini menjelaskan pembangunan peribadi dan pembinaan kapasiti kepimpinan amat penting dalam pembangunan organisasi. Organisasi perlu membina jalinan yang kuat melalui komunikasi berkesan dan ikatan emosi yang mantap yang menjadikan kerja sepasukan dan membuat keputusan sepasukan. Dengan perubahan-perubahan yang berlaku dalam era globalisasi sekarang, pemimpin sekolah perlu ‘memimpin di luar kotak’. Pemimpin perlu mengurus perubahan dengan melihat gambaran menyeluruh, memahami proses perubahan dan mempunyai pemikiran konseptual yang canggih untuk mengubah organisasi. Pemimpin perlu
1. Ada wawasan dan misi
2. Mampu membuat guru, pelajar, ibu bapa faham wawasan sekolah
3. Sentiasa berada untuk dirujuk
4. Bersedia untuk berubah
5. Kerja berpasukan dan usaha kolaboratif

Melestarikan kepimpinan sangat penting bagi memastikan kepimpinan sedia ada terus memupuk kepimpinan mereka supaya sentiasa sihat dan tegar terhadap pelbagai tentangan dalaman dan tekanan luaran. Aspek ini seperti ”serampang dua mata” , iaitu seseorang pemimpin boleh melestarikan kepimpinan mereka dalam persediaan menghadapi semua usaha untuk perubahan dan pembangunan organisasi , dengan demikian melanjutkan keberkesanan mereka sebagai seorang pemimpin.
Sebagai rumusannya, pemimpin juga dinasihatkan untuk menggunakan konsep ‘kami’ dan buang huruf E dari ejaan EGO kerana egoism menjejaskan semangat pasukan. Selaku seorang pemimpin berkesan , perlulah dia merendahkan diri untuk berkerjasama dengan ahli-ahli warga sekolah tetapi pada masa yang sama pengetua seharusnya mengamalkan ‘professional distance’ agar staf atau guru tidak mengambil peluang dengan menjejaskan pengurusan sekolah.

Pemimpin sekolah berkesan ialah seorang pemimpin yang berwibawa, mempunyai integrity, dan percaya kepada kebolehannya sendiri sehingga mampu untuk mengurus perubahan dan membina satu pasukan petugas yang menjana satu sistem kerja supaya setiap anggota organisasi dapat sama-sama diberi peluang untuk menylesaikan masalah dengan kreatif dan penuh komitmen dengan meletakkan satu matlamat dan hala tuju yang dinamik supaya matlamat organisasi dapat dicapai.

Kesimpulan
Kepimpinan merupakan petunjuk utama dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah organisasi. Banyak kajian telah dibuat berhubung kepimpinan, keberkesanan pemimpin, gaya kepimpinan dan tingkah laku pemimpin. Sesungguhnya, pemimpin yang berkualiti akan merealisasikan kejayaan sesebuah organisasi. Peranan pemimpin sekolah mengamalkan amalan-amalan terbaik dan perlu cekap serta bijak untuk melaksanakan tugas kepimpinan tersebut.Apa tah lagi peranan pendidik untuk melahirkan modal insan yang terus berkhidmat dengan cemerlang dan berminda kelas pertama. Hasrat ini sangat bertepatan dengan gagasan ’Satu Malaysia’. Melalui motto ’Rakyat (pelanggan) Didahulukan dan Prestasi Diutamakan’ kita mengharapkan dapat memberikan perkhidmatan profesional yang berkualiti, lebih akauntabiliti dan menepati pencapaian Petunjuk Prestasi (KPI) melalui Petunjuk Keberhasilan Prestasi (NKRA) oleh organisasi masing-masing. Para pemimpin sekolah perlu jelas bahawa ukuran keberkesanan sekolah adalah bermula dari situasi di sebuah bilik darjah hingga kepada prestasi organisasi sekolah. Dengan ini diharapkan melalui pelaksanaan ini akan dapat membuka peluang, ruang perkongsian idea, data, pengalaman serta pandangan terhadap permasalahan serta inovasi pendidikan yang terkini. Dalam menghadapi cabaran dan harapan bagi kecemerlangan pendidikan negara, pemantapan terhadap amalan-amalan kepengetuaan adalah menjadi agenda utama KPM. Alaf ini dan akan datang akan mengundang perubahan-perubahan yang begitu banyak dan cepat. Kita tidak boleh leka dan bergerak perlahan dalam konteks mempersiapkan diri dan memperkemaskan keberkesanan tindakan. Kita tidak boleh berfikir secara statik kerana cabaran akan datang memerlukan corak pemikiran dan tindakan yang berbeza. Namun, kita amat memerlukan pemimpin yang mempunyai sensitiviti, kebolehan memimpin organisasi, mampu membuat pertimbangan profesional, menganalisis masalah, dan mementingkan nilai moral serta mempamerkan kualiti-kualiti kontemporari yang boleh membawa perubahan kepada organisasi. Pemimpin seumpama ini akan mendapat pengiktirafan daripada masyarakat selain daripada pihak kerajaan.

Rujukan
Akta Pendidikan 1961
Aminah Ayob,2007 Pembangunan Modal Insan dlm PIPP dan Implikasinya terhadap kepimpinan sekolah, Seminar Kepengetuaan Kebangsaan ke-V,IKUM.
Dato Seri Najib Tun Razak,Perdana Menteri Malaysiadalam ucapan pada 27 Julai 2009 di Majlis Perhimpunan Anggota Pentadbiran dan Penjawat Awam serta GLC di Putrajaya.
Collins,J. (2001), From Good To Great: Why Some Companies Make the Leap…And Others Don't, Open Usty Press.
Hussein Ahmad, 2008.Pembangunan Etos dan Budaya Sekolah Dan Biilik Darjah Ke arah Kecemerlangn Pelajar: Satu Pendekatan, UM4.
Kaplan & Norton. (1996) Balanced Scorecard: Translating Strategy Into Action. Boston, Massachusetts: Harvard Business School Press
Kouzes,J.M. & Posner,B.Z.(2002) The leadership challenge (ed.Ke-3) San Francisco:Josey-Bass
Maxwell, John. (2009) Leading From the Middle, The 360º Leader , NY
Muhamad Bustaman bin Abdul Manaf,2009 Bengkel Pembinaan KPI Untuk Organisasi Awam, Institut Aminuddin Baki
Noor Rezan Bapoo Hashim, Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) Perekayasaan Pendidikan,Konvensyen PIBG Kebangsaan, 27.3.2010,IAB, Genting Highlands.
Noraini Abdullah ,2009,Kepimpinan Tahap 5 (level 5 Leadership) IAB
Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bil 2, 2005, Garis Panduan bagi mewujudkan Petunjuk-petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan melaksanakan pengukuran prestasi di agensi kerajaan.
Rusmini Ku Ahmad, Penggunaan Petunujuk-petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicators (KPI) untuk Penambahbaikan Sekolah, dlm Jurnal Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan,Jld 16 Bil.1 Jun 2006.
Schmoker, Mike(2000) Results: the Key to Continuous School Improvement, Graw Hill Inc.
Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Menteri Pelajaran ucapan di Majlis Pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi, pada 29 Januari 2010, KL.
Tun Dr Mahathir Mohammad, Launching of MSC, 1 August 1996

No comments:

Post a Comment