Tuesday, February 21, 2012

Selamatkan Negaraku

         PADA hujung minggu lalu, Sabtu malam, hamba dan beberapa orang sahabat menunaikan solat tasbih. Sebagaimana biasa, antara lain kami baca berulang kali surah al-Ikhlas yang maksudnya:
``Katakanlah Allah yang Maha Esa; Allah yang bergantung kepadaNya segala sesuatu; Dia tidak beranak dan tidak pula dipernakkan; Dan tidak ada apa pun yang serupa denganNya.’’
Maha Suci Allah daripada segala apa yang manusia sekutukan. Tetapi manusia tetap bergantung kepada yang lain daripada Allah, sekalipun ditegaskan bahawa yang berhak kita bergantung hanyalah kepadaNya.
Dalam solat tasbih itu, hamba dan para sahabat telah memohon kepada Allah semoga negara Malaysia yang kita kasihi terhindar daripada bencana reaktor nuklear yang ketika itu sedang melanda Jepun. Banyak negara bimbang kalau-kalau reaktor di tiga penjana kuasa nuklear Jepun meletup lagi dan angin meniupkan debu radioaktifnya menyeberangi lautan. Di negara kita juga kebimbangan semakin kuat.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Yang Maha Berkuasa kerana pihak berkuasa Jepun akhirnya berjaya mengawal kepanasan reaktor nuklear di sana dan meredakan kebimbangan terhadap kemungkinan letupan berlaku lagi selepas letupan yang pertama.
Kesimpulannya, berimanlah wahai umat Islam dan berdoalah wahai orang-orang yang beriman. Kepada Allah kita memohon kerana Dia yang mencipta dan menentukan segala sesuatu. Sebab itulah salah satu rukun iman yang enam ialah kepercayaan kepada qada dan qadar.
Makna qada dan qadar ialah segala yang berlaku di alam semesta adalah di atas ketentuan Allah. Yang boleh mengubah ketentuan ini hanyalah Allah jua. Hak kita manusia ialah berdoa kepadaNya supaya diubah ketentuan yang ditetapkan.
Allah suka manusia berdoa kepadaNya kerana ia adalah tanda kita berserah diri dan bergantung kepadaNya. Tetapi kebanyakan manusia lupa kepada kekuasaan Allah. Ada yang menyebut ``Allah’’ hanya apabila dalam keadaan sangat darurat dan terdesak. Apabila mereka dilepaskan daripada kesusahan, mereka cepat lupa dan tidak pula bersyukur.
Bersyukurlah kerana ia baik untuk diri kita sendiri. Tunaikan solat syukur atau setidak-tidaknya bertafakur sejenak dan ucapkan ``Alhamudillah’’ sebanyak mungkin. Atau jika mampu bersedekahlah kepada fakir miskin sama ada memberikan sumbangan secara langsung atau mengadakan jamuan untuk mereka, bukan jamuan hanya untuk orang yang sudah cukup keperluan.
Bersabarlah jika doa belum dimakbulkan kerana Allah lebih mengetahui saat dan ketika yang sesuai untuk menunaikan permintaan kita.
Sebenarnya, apa jua yang kita lakukan dalam hubungan dengan Allah adalah untuk diri kita. Allah tidak memerlukan apa-apa daripada makhlukNya kecuali mereka menyembahNya dan tidak mensyirikkanNya.
Menyembah Allah bukanlah sekadar dengan menunaikan solat, berpuasa, membayar zakat dan naik haji, tetapi ia menuntut penyerahan yang lebih menyeluruh. Paling pokok ialah menginsafi bahawa diri kita ini wujud hanya kerana Allah.
Sebab itulah dalam doa iftitah (doa selepas takbir dan niat sembahyang) antara lain kita baca ``inna solati, wanusuki, wamahiyaya, wamamati, lilla hirabbil alamin’’ yang membawa maksud ``sembahyangku, segala ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan semesta alam.’’
Banyak orang memahami ungkapan ikrar iftitah ini dengan maksud bahawa segala sembahyang, ibadat, hidup dan mati kita adalah untuk Allah. Tidak salah kefahaman ini, tetapi martabatnya rendah di sisi Allah. Yang lebih tinggi martabatnya ialah kita menginsafi bahawa manusia ini tidak wujud melainkan kerana Allah mewujudkan kita.
Allah tidak memerlukan apa-apa daripada makhlukNya kerana Dia Yang Maha Sempurna dan kerana segala apa pun yang wujud adalah dariNya. Oleh itu, apa jua yang kita buat dalam kehidupan di dunia bukanlah untuk Allah, tetapi adalah untuk diri kita sendiri. Jika baik , kitalah yang mendapat kebaikannya, dan jika buruk, kita juga yang memperoleh keburukannya.
Pahala dan segala kebaikan daripada solat dan ibadat adalah untuk diri kita sendiri. Begitu pemurahnya Allah. Segala yang kita mahu dapatkanlah melalui usaha kita. Di dunia kita dapat rahmatNya, dan apatah lagi di akhirat. Sebanyak mana sekalipun, Allah tidak akan menyekatnya, kecuali jika kita melakukannya bukan lagi dengan perasaan ikhlas keranaNya.
Kemuncak kepada perasaan ikhlas dalam ibadat ini ialah menghilangkan diri daripada sifat keakuan. Ertinya kita bersolat dan beribadat bukan lagi kerana kehendak dan keupayaan kita, tetapi adalah atas rahmat Allah. Dia yang menggerakkan keinginan kita bersolat dan beribadat. Dia juga yang memberikan kita kudrat (keupayaan) untuk beribadat dan solat. Malah untuk kita berdiri pun adalah atas rahmatNya.
Selagi kita berasa diri kitalah yang melakukan segalanya, maka akan jauhlah diri daripada rahmat Allah, sekalipun zahirnya kepada orang lain kita ini sangat kuat beribadat sehingga ada yang hitam dahi kononnya kerana terlalu bersujud. Inilah yang dinamakan sifat keakuan.
Kitalah yang berilmu, kitalah yang kuat beribadat dan kitalah yang lebih mulia daripada orang lain di sisi Allah. Jika terdetik di hati perasaan begini, eloklah bertaubat segera. Tunaikan solat taubat dan berisytifar banyak-banyak.
Keakuan hanya akan melahirkan sifat takbur dan riak kerana kita sendiri telah memisahkan diri kita daripada Allah sedangkan Allah tidak pernah memisahkan diriNya daripada kita. Bagaimana mungkin kita memisahkan diri daripada Allah sedangkan Dia lebih dekat dengan kita daripada urat leher kita.
``Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.’’ – 10 (Qaf): 16
Jika kita faham kedudukan sebenar kita di sisi Allah, mudah-mudahan akan bertambahlah iman kita. Akan mudahlah doa kita dimakbulkan Allah.
Maka marilah kita berdoa sekerap mungkin sebagai tanda penyerahan diri kita kepadaNya. Berdoalah bukan sahaja untuk diri dan keluarga, tetapi juga untuk orang lain, masyarakat dan negara yang kita cintai. Sesungguhnya orang yang beriman wajib mencintai tanah airnya.
Berdoalah supaya negara kita sentiasa aman, sejahtera dan makmur. Dan berdoalah supaya negara ini sentiasa dipimpin oleh orang yang beriman, bukan orang kafir, munafik dan fasik. Juga berdoalah supaya Allah memberikan kemenangan kepada pihak yang benar dalam pergolakan politik di tanah air kita yang cukup meresahkan sekarang.


No comments:

Post a Comment