Tuesday, February 21, 2012

Hakikat mengenal Allah

          APAKAH yang menyebabkan ummah, wilayah dan negara Islam pada zaman moden paling kerap ditimpa bencana? Dilanda peperangan demi peperangan. Sama ada diserang oleh bukan Islam atau berperang sesama sendiri. Darah mengalir di bumi Palestin, Afghanistan, Bosnia Herzegovina, Chechya, Iraq, Tunisia, Libya ...dan nampaknya senarai ini belum bernoktah lagi.
Dilanda tsunami yang paling buruk dalam sejarah, juga bumi Islam iaitu Acheh. Dilanda banjir yang mengorbankan banyak nyawa, juga negara Islam iaitu Bangladesh dan Pakistan.
Apakah semua itu sekadar ujian atau musibah kepada umat Islam? Adakah Allah S.W.T telah menzalimi kita umat agama terakhir yang diperintahkan memimpin manusia lain ke jalan yang lurus?
``Sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya, akan tetapi, hamba-hambaNya yang selalu menzalimi diri mereka sendiri.’’ - Surah Yunus (10): 44.
Jika kita benar-benar yakin kepada Quran sebagai petunjuk dari Allah, ayat di atas adalah sebahagian daripada jawapan yang wajib umat Islam terima. Apakah bentuk kezaliman yang kita telah lakukan kepada diri sendiri? Miskin kerana malas, bodoh kerana tidak mahu belajar, tidak pandai buat senjata canggih atau tidak bersatu kerana suka bergaduh?
Sebenarnya kezaliman paling besar ialah tidak beriman kepada Allah Yang Maha Esa. Sama ada tidak lagi menyembahNya, atau menyekutukanNya atau tidak lagi taat kepadaNya atau sekadar melupai kekuasaanNya.
Akibatnya, Allah tidak lagi memberikan pertolongan kepada umat Islam sebagaimana pertolongan yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w, para sahabat dan zaman empayar khalifah. Mereka mengembangkan Islam, membina ketamadunan dan pemerintahan dengan iman dan penyerahan diri yang tidak berbelah bahagi kepada Allah.
Apabila empayar Islam sampai ke zaman kemuncaknya, kemewahan telah menyebabkan pemimpin-pemimpin dan umat Islam melupai Allah.
Mereka mulai lupa bahawa rezeki, kemuliaan, kekuatan, kekuasaan, ilmu, nyawa dan segalanya adalah daripada Allah. Keadaan lebih teruk pada zaman kemudian apabila bukan Islam lebih makmur, maju dan gagah. Umat Islam berasa daif, lalu turut terikut-ikut dengan gelagat keduniaan dan keakuan masyarakat bukan Islam. Mereka cintakan dunia dan takut mati, kita juga cinta akan dunia dan takut mati. Pada hal orang-orang yang beriman hanya takut kepada Allah, tidak kepada yang lain.

( Muka 2)

Inilah tanda kita sudah hilang iman.
Kita umat Islam pada hari ini sudah lupa bahawa imanlah yang membolehkan Islam dikembangkan oleh Rasulullah S.A.W, para sahabat baginda , khalifah-khalifah dan pendakwah selepas zaman baginda sehingga akhirnya agama ini meliputi hampir dua pertiga dunia.
Kajilah al-Quran dan sirah Rasulullah, jelas bahawa imanlah yang menjadi kunci kekuatan umat Islam dahulu. Sebabnya orang-orang beriman sentiasa mendapat pertolongan Yang Maha Berkuasa, Maha Kaya, lagi Maha Perkasa.
``Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahu pun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepada mereka kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.’’ – An Nahl (16): 97
Janganlah berasa terkejut atau pelik jika kita dikatakan tidak beriman. Nabi Muhammad sendiri tidak mengetahui apa itu iman, kecuali selepas mendapat wahyu daripada Allah.
``Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Nabi Muhammad) wahyu dengan perintah Kami. Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al Kitab (Al Quran) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi Kami menjadikan Al Quran itu cahaya, yang Kami tunjuki dengan dia siapa yang kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya kamu benar- benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus.’’ - Asy Syuura (42): 52
Proses mengimankan Rasulullah dan para pengikut baginda berjalan selama 13 tahun melalui wahyu-wahyu yang diturunkan kepada baginda ketika di Mekah, sebelum berhijrah ke Madinah.
Wahyu-wahyu yang turun di Mekah ini dinamakan Makkiyah. Surah-surah Makkiyah berkisar kepada soal akidah atau keimanan. Ayat-ayat An Nahl dan Asy Syuura yang telah disebutkan adalah Makkiyah. Semasa di Mekah, umat Muhammad belum lagi diwajibkan menunaikan solat, puasa dan ibadat haji.
Segala hukum-hakam hanya diperintahkan melalui wahyu-wahyu yang diturunkan setelah baginda berhijrah ke Madinah. Pada hari ini wahyu-wahyu ini dinamakan Madaniyyah. Hanya dalam surah-surah Madaniyyah terdapat firman Allah yang bermula dengan seruan ``wahai orang-orang yang beriman.’’ Tidak pula Allah berfirman ``wahai orang-orang Islam (muslimin).’’ Maknanya, setelah beriman mereka hendaklah bertakwa dengan melaksanakan segala yang Allah perintahkan.
Begitulah metodologi atau cara pendidikan agama yang Allah ajar kepada Nabi Muhammad. Bolehlah disimpulkan bahawa bermulanya proses pendidikan agama ialah dengan mengenal Allah terlebih dulu. Mengenali Allah yang mempunyai 99 nama dan sifat (asmaul husna) dan membina keyakinan terhadapNya sebagai Yang Maha Esa dan Maha Agung.

(Muka 3)

Pengukuhan iman ini amat penting kerana syariat agama yang meliputi akhlak dan ibadat tidak akan berdiri kukuh tanpanya. Sebaliknya pendidikan umat Islam pada hari ini lebih bertumpu kepada mengenal syariat agama.
Itulah puncanya sebilangan besar umat Islam tidak kenal Allah, walaupun banyak pelekat berbunyi ``I Love Allah’’ ditampal kepada kereta. Tidak munasabah kita boleh jatuh cinta kepada seseorang yang tidak dikenali. Sudah kenal barulah datang rasa cinta.
Maha Suci Allah yang tidak boleh dilihat dan dibayangkan, bagaimana mahu kenal, apatah lagi cinta kepadaNya. Sebenarnya Allah boleh dikenali melalui iman, dan cinta kepadaNya akan datang bersama takwa dan amal soleh.
Disebabkan tidak mengenali Allah, maka iman yang kononnya ada dalam diri kita hanyalah bersifat ikut-ikutan, atau pinggiran. Kita dengar ceramah di masjid, radio atau TV, kita pun berasa sudah kenal Allah. Pada hal yang bercerita itu sendiri mungkin belum tentu kenal Allah. Kita diajar di sekolah tentang Sifat 20, tetapi ustaz yang mengajar pun tidak begitu faham apa yang dituturkannya.
Renungilah firman Allah kepada Nabi Muhammad apabila sekumpulan orang Badwi yang telah memeluk Islam datang kepada baginda dengan pengisytiharan bahawa mereka telah beriman.
`` Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman." Katakanlah: "Kamu belum beriman, tapi katakanlah 'kami telah tunduk (Islam)', karena iman itu belum masuk ke dalam hatimu; dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun pahala amalanmu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." - Al Hujuraat (49):14
Seterusnya Allah berfirman lagi.
``Sesungguhnya orang-orang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar.’’ Al Hujuraat (49):15
Bagaimana mungkin kita berjihad dengan harta dan nyawa jika terlalu cinta akan dunia dan takut mati. Insya-Allah berjumpa lagi minggu depan dalam sambungan bicara iman.

No comments:

Post a Comment