Tuesday, October 11, 2011

UCAPAN YB DATO’ Ir Dr. WEE KA SIONG,


TIMBALAN MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
MELESTARIKAN LEGASI KEPIMPINAN PENGETUA CEMERLANG
MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN KEBANGSAAN
PENGURUSAN PENDIDIKAN PENGETUA CEMERLANG KEBANGSAAN KEEMPAT
PADA 21 SEPTEMBER 2011 2.30 ptg
INSTITUT AMINUDDIN BAKI, GENTING HIGHLANDS,
.
1 `Melestarikan Legasi Kepimpinan Pengetua Cemerlang’ yang menjadi tema persidangan kali ini, sewajarnya menjadi asas dan panduan dalam perbincangan yang akan dijalankan dan dapat mencapai hasil yang bermanfaat. Beliau berharap agar hasil perbincangan yang diperoleh, dapat diterjemahkan dengan tindakan susulan yang berkesan di semua peringkat. Gunakanlah sebaik mungkin peluang dan ruang yang ada untuk berdiskusi dalam ruang lingkup yang lebih dinamik dan seterusnya mencapai kata sepakat demi kelangsungan kecemerlangan pendidikan negara kita.

2. Kepimpinan lestari dapat memperlihatkan kesinambungan dan kelangsungan dalam kepimpinan globalisasi, iaitu pemimpin lebih berperanan sebagai agen perubahan. Melestarikan legasi kepimpinan Pengetua Cemerlang merupakan pendekatan terbaik dalam usaha untuk memastikan berlakunya kesinambungan kepimpinan bagi mencapai matlamat organisasi. Kesinambungan ini diyakini dapat membantu pelaksanaan dasar sesebuah organisasi dalam tempoh yang panjang dan keadaan yang stabil.
3.Kejayaan membangunkan modal insan holistik terletak pada peranan berkesan yang dimainkan oleh pemimpin cemerlang. Langkah ini menuntut keupayaan yang sentiasa meningkat dan relevan dengan keperluan dan tuntutan semasa. Konsep ’A brighter Tomorrow is Here Today’ dapat memerihalkan dan membugarkan usaha melahirkan modal insan yang memiliki mentaliti kelas pertama.
4.Pada masa ini aspek memperkasakan sekolah dan kecemerlangan kepimpinan sekolah menjadi agenda utama Kementerian Pelajaran Malaysia. Sekolah dan kepimpinan sekolah perlu sentiasa dinamik dan inovatif bagi mengisi harapan masyarakat dan cabaran masa depan negara. Begitu juga, dalam memperkatakan transformasi pendidikan yang membawa maksud suatu perubahan terancang pendidikan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk membangunkan pendidikan secara sistematik dan penyediaan prasarana pendidikan yang berkualiti amat signifikan dengan kualiti kepimpinan sekolah.
5..Masyarakat pada hari ini menaruh harapan yang tinggi terhadap sekolah supaya anak-anak mereka berjaya terutama dalam akademik dan pembentukan sahsiah yang terpuji. Mereka mengharapkan anak-anak mereka mendapat perhatian yang sewajarnya dan terus mampu mencapai kecemerlangan sesuai dengan pelaburan yang telah dikeluarkan.
6.Setiap pemimpin sekolah perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menyediakan dan memastikan kualiti pendidikan yang terbaik bagi memenuhi keperluan dan kehendak sebenar masyarakat. Inilah yang dihasratkan oleh kerajaan melalui Gagasan 1Malaysia : Rakyat didahulukan, Pencapaian
7. Proses melengkapkan dan memperbaiki potensi dan kemenjadian murid sepatutnya dilakukan sepanjang masa di sekolah. Dalam konteks ini, aspek pengajaran dan pembelajaran serta pemantauan seharusnya menjadi tugas utama bagi setiap pimpinan sekolah. Jika tidak diberikan perhatian bersungguh-sungguh terhadap aspek kualiti pengajaran dan pembelajaran, maka masalah keciciran akademik dan moral dalam kalangan pelajar tidak akan dapat diatasi dan secara tidak langsung boleh mencetuskan masalah sosial dalam masyarakat.

8. Pengetua Cemerlang yang tabah dapat menguruskan keresahan dan gangguan emosi daripada pelanggan-pelanggan kita. Selain bersikap positif, optimis dan memaparkan emosi yang tenang, pemimpin yang tabah mempunyai hubungan yang baik dengan guru ahli keluarga, sahabat dan rakan sekerja, PIBG,dan NGO. Hubungan yang baik dengan pelangggan-pelanggan kita sebenarnya boleh mempengaruhi kecemerlangan institusi pendidikan.
9. Pengetua sewajarnya mempunyai keupayaan untuk mempengaruhi ahli-ahli pasukannya melaksanakan tugas-tugas dan amanah yang diberikan dengan ikhlas dan berdedikasi demi kecemerlangan organisasi yang dipimpinnya. Malah, mereka seharusnya bertindak sebagai penyelesai masalah dan bukan kepada penyumbang masalah. Pengetua Cemerlang perlu ada kemahiran interpersonal dan berkeupayaan memberi inspirasi kepada orang lain. Mereka memberi suntikan semangat dan sentuhan ajaib kepada orang lain untuk bergerak lebih maju dan jauh lagi. “Inspires and motivates to high performance was the single most important quality or competency for the leader to possess.” ( Zenger and Folkman, 2009)

10. Pemimpin Cemerlang juga perlu mengamalkan sikap keterbukaan terhadap cetusan idea atau gagasan baru. Jelas bahawa tugas kita pada hari ini ialah untuk melahirkan generasi pelajar yang memiliki daya fikir yang tinggi, yang dicirikan oleh elemen kreativiti dan inovasi, bagi memastikan mereka mampu ‘survive’ dalam apa jua keadaan dan cabaran. Di sinilah pentingnya kemahiran high order thinking (HOT) memainkan peranannya dalam setiap kehidupan. Jadi, kita perlu memikirkan sesuatu dalam hal ini, agar generasi kita yang akan datang lebih bersedia untuk menelusuri arus ‘survival’ dengan jayanya.

11. Budaya kerja yang cemerlang seharusnya menjadi indikator penting atau KPI seseorang pengetua supaya sekolah yang dipimpin mencapai sasaran yang ditetapkan. Ini penting supaya tuan/puan mempunyai sasaran tertentu untuk membawa organisasi yang dipimpin oleh tuan/puan ke arah yang lebih baik. Beberapa inisiatif yang telah diperkenalkan oleh kerajaan seperti Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan Tawaran Baru (Bai’ah) boleh dijadikan sasaran untuk dicapai oleh seseorang pemimpin sekolah.

12.Kepimpinan sekolah perlu sentiasa dinamik dalam mengisi harapan masyarakat dan negara. Dalam konteks ini, pembangunan professionalisme berterusan melalui latihan dan kemahiran merupakan faktor penting yang harus diberi perhatian. Perkara ini telah dijelaskan oleh Sergiovanni, (1994) “Training alone just won’t do. Instead, principals will need to emphasize professional development and renewal improvement strategies.”
13. Selain itu, saya berpendapat agar ahli MPCK menjaga kredibiliti, integriti dan ketrampilan diri masing-masing. Apabila diri kita diiktiraf sebagai Pengetua Cemerlang, ini bermakna segala tindak-tanduk dan perlakuan kita sentiasa diperhatikan oleh pelanggan-pelanggan kita.

14.Semua program yang dilaksanakan oleh Pengetua Cemerlang sepatutnya memberi impak yang tinggi kepada sekolah masing-masing. Saya tidak mahu mendengar keadaan yang menggambarkan Pengetua Cemerlang tidak mencapai tahap dan kualiti seperti dihasratkan oleh KPM. Dampaknya, ini boleh merendahkan martabat profesion Pengetua Cemerlang.

‘Sustainable leadership certainly needs to become a commitment of all school leaders. If change matter, spread and last,sutainable leadership must also be a fundamental priority of the systems in which leaders do their work.’ ( Hargreaves and Fink, 2003)





No comments:

Post a Comment