Sunday, June 19, 2011

PRINSIP KERJA X-PLUS

Inilah prinsip kerja kaum profesional era GTP dan ETP: memaksimumkan impak penyampaian perkhidmatan dalam bentuk keberhasilan kerja aras cemerlang (exellence) berteraskan pengetahuan, latihan, usaha dan semangat sepasukan. Prinsip kerja X-PLUS. Dengan prinsip kerja ini diharapkan setiap individu pendidikan dan pegawai pendidikan di segenap segmen dalam organisasi dan jentera pendidikan negara dapat merekayasa (reengineer) dan meneroka inisiatif baharu dalam cara-cara melakukan kerja dan menginovasi program atau aktiviti baharu bagi melengkapi program atau aktiviti sedia ada.
Prinsip pertama: CEMERLANG (EXCELLENCE).
Inilah kayu ukur keberhasilan kerja setiap individu. Cemerlang atau excellence berbeza dengan kualiti. Kualiti bermaksud memenuhi kehendak pelanggan,yakni menepati ketetapan kerja, mematuhi tuntutan perkhidmatan, mengikuti sepenuhnya perencanaan dan strategi, menyempurnakan tugasan pegawai atasan, dan mencapai sasaran kerja tahunan. Walhal cemerlang bermaksud ‘go beyond’, yakni memenuhi kehendak yang tidak terungkap oleh pelanggan, menangani cabaran yang belum tiba, dan melepasi rekod sedia ada. Cemerlang bermakna melepasi aras kualiti, melepasi pencapaian terbaik sebelum ini, mewujudkan aras pencapaian baharu untuk dikejar oleh pesaing. Cemerlang dalam konteks berfikir dan meneroka pelbagai pilihan penyelesaian bererti ‘think the unthinkabel’ dan ‘reason the unreasonable’. Tiada batasan upaya dalam menghurai permasalahan dan mencerakini jalan-jalan penyelesaian. Halangan kecemerlangan ialah batasan kemahuan dan batasan imaginasi.
Dalam konteks ini, dan dalam konteks mengangkat daya saing bangsa Malaysia menerusi GTP dan ETP, komitmen warga profesional pendidikan adalah untuk melonjakkan agenda pendemokrasian pendidikan dari aras ‘democratization of access’ ke aras yang lebih tinggi, yakni ‘democratization of excellence’. Dahulunya kita bekerja keras untuk menyampaikan pendidikan kepada rakyat, segenap lapisan rakyat di segenap pelosok tanah air.
Bermula saat ini, selaras dengan gagasan keterangkuman dalam falsafah 1Malaysia, kaum pendidik akan berusaha dengan lebih gigih bagi menyampaikan perkhidmatan pendidikan cemerlang kepada masyarakat. Azam kita ialah sedaya upaya memanfaat segala ilmu dalam dada dan menggemblengkan segala sumber yang diperuntukkan oleh Kerajaan kepada kita demi merakyatkan kecemerlangan ke segenap pelosok negara, merentasi daerah, merentasi negeri, merentasi wilayah.
Ini juga bermakna setiap sekolah wajib menjadi sekolah cemerlang kerana setiap murid, dalam agenda ‘democratization of excellence’, berhak mendapat kualiti pendidikan yang tidak lebih rendah daripada aras
cemerlang. Ini bermakna ‘every school is a good school, tiada sekolah kecuali yang terbaik’. Inilah tuntutan rakyat kepada Kerajaan dan Kerajaan mengamanahkan tanggungjawab ini kepada
Prinsip kedua: PENGETAHUAN.
Kaum pendidik dan pegawai pendidikan beroperasi dalam era pengetahuan. Dalam era ini, faktor utama produktiviti bukan lagi bilangan pekerja, teknologi dan peruntukan yang banyak, factor utama produktiviti ialah maklumat dan pengetahuan. Cara bekerja, cara mengajar dan cara mengurus pengajaran dan pembelajaran dalam era ini bukan lagi sesuatu yang rutin, berulang-ulang dan rigid, tetapi sarat dengan kepelbagaian cara dan gaya, tidak berulang-ulang, dan mencabar daya upaya setiap orang dalam menggunakan kebijaksanaan, budi bicara, penilaian dan pertimbangan.
Demikian juga cara bagaimana organisasi diurus dan digerakkan. Dalam era ini, birokrasi bukan lagi satu-satunya kaedah pengurusan yang paling cekap dan berkesan. Intipati birokrasi ialah alat organisasi bagi menghasilkan ketetapan dan keputusan yang rigid. Walhal kerigidan boleh merencat pengupayaan, kreativiti, invensi dan inovasi. Justeru organisasi telah mengalami transformasi daripada birokratik kepada ad hoc, maka selain model birokrasi, model adhokrasi menjadi satu lagi pilihan dalam cara-cara mengurus organisasi dalam era pengetahuan ini.

Oleh itu pemimpin dan pengurus tidak lagi semata-mata mentadbir tetapi memudah cara, menyelaras dan mempertalikan setiap pasukan kerja dalam organisasi.
Pemimpin dan pengurus sewajarnya memiliki spectrum pengetahuan yang luas, berkemahiran menatarkan maklumat yang dijana oleh setiap pasukan kerja, dan berkemahiran sebagai mediator dan moderator.
Demikian juga berfikir, bercakap, menulis dan bertingkah laku hendaklah berasaskan pengetahuan, bukan berpandukan perasaan, emosi, kebiasaan dan ketaksuban.
Pekerjaan mendidik, melatih, mengasuh, membimbing, mengajar dan menilai mestilah berdasarkan pengetahuan, bukan berdasarkan kebiasaan atau rutin. Pengetahuan itu pula sewajarnya adalah yang terkini, teruji dan mantap. Maka datanglah keperluan latihan.
Prinsip ketiga: LATIHAN.
Latihan bermaksud belajar sepanjang hayat untuk mempertajam keupayaan melaksanakan tanggungjawab semasa dan mempersiap keupayaan untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dan mencabar. Latihan bermakna bina upaya yang berterusan, bukan sekadar memenuhi ketetapan perkhidmatan. Latihan bererti bersedia untuk berubah, bersedia untuk melaksanakan idea baharu, bersedia untuk menggunakan cara gaya baharu dalam menyempurnakan tanggungjawab, bersedia menjayakan transformasi. Latihan untuk pendidik dan pegawai pendidikan sewajarnya memenuhi aspek minimum berikut:
Oientasi budaya kerja prestasi tinggi perkhidmatan awam dan penerapan nilai-nilai positif;
Pemahaman wawasan, misi, matlamat, objektif, fungsi dan budaya organisasi;
Pembinaan daya upaya melaksanakan tugas dengan cekap, cepat dan berkesan serta menepati piawaian umum organisasi;
Mempertingkatkan kemahiran sedia ada dan memupuk kemahiran baharu dalam aspek kepakaran, profesionalisme dan kepimpinan; dan
Memperkukuh kompetensi kepimpinan, komunikasi dan pemikiran strategik yang selaras dengan cabaran-cabaran semasa dan harapan-harapan baharu.
Setiap program latihan pula hendaklah merangkumi tiga unsur berikut:
Unsur latihan, yakni aktiviti pembelajaran yang menjurus kepada tugas dan tanggungjawab semasa. Unsur latihan berfungsi meningkatkan kompetensi pendidik dan pegawai pendidikan dalam melaksanakan kerja dan menyempurnakan tugas dengan cekap dan berkesan. Latihan juga menjadi medium penataran pelan startegik organisasi, pembiasaan terhadap program baharu dan inovasi dalam pelaksanaan kerja. Hasil akhir latihan ialah peningkatan motivasi, peningkatan kualiti, dan peningkatan produktiviti kaum profesional;
Unsur pendidikan, yakni aktiviti pembelajaran yang menumpu kepada tugas dan tanggungjawab yang akan dipikul dan dilaksanakan pada masa hadapan. Unsur pendidikan bertanggungjawab menyediakan anggota profesional pendidikan untuk menangani cabaran yang lebih besar dan memikul tanggungjawab yang lebih berat pada masa hadapan. Ini bermakna unsure pendidikan sangat kritikal dalam pelaksanaan pelan strategik organisasi dan menjayakan agenda transformasi.
Hasil akhir pendidikan ialah pendidik dan pegawai pendidikan yang bersedia dan berupaya menggalas pelbagai tugas dan tanggungjawab lain dalam organisasinya, pada pelbagai aras jawatan dan dalam pelbagai persekitaran; dan
Unsur pembangunan, yakni aktiviti pembelajaran yang tidak memfokus kepada tugas dan tanggungjawab semasa mahupun tugas dan tanggungjawab pada masa hadapan. Unsur pembangunan bertanggungjawab menyediakan pendidik dan pegawai pendidikan yang sentiasa bersedia untuk belajar, sentiasa bersedia untuk menerima dan melaksanakan perubahan, sentiasa bersedia untuk menerima dan melaksanakan idea dan gagasan baharu, dan sentiasa peka kepada perubahan dan perkembangan di dalam dan di luar organisasinya. Hasil akhir pembangunan ialah pendidik dan pegawai pendidikan yang mempamerkan karakter juara perubahan. Ringkasnya, hanya latihan yang sistematik danberterusan yang berupaya melestarikan profesionalisme jentera pendidikan negara. Latihan yang berterusan bermakna pembelajaran berterusan. Pembelajaran menjana perubahan. Perubahan menjana pembaharuan, renewal.
Peri pentingnya latihan untuk pembaharuan atau
Prinsip keempat: USAHA.
Usaha berbeza dengan kerja. Usaha bermaksud berikhtiar seupaya mungkin dengan menggunakan pelbagai sudut pemikiran, sumber, kreativiti dan inovasi demi menyempurnakan misi dan mencapai objektif. Usaha bermaksud ‘go extra mile’. Sedangkan ‘kerja’ bermaksud melaksanakan tugas sebagaimana yang ditetapkan atau diarahkan. Kerja mengutamakan kepatuhan 23 Covey, Stephen R., The Seven Habits of Highly Effective People (Simon & Schuster, 1989) kepada arahan. Usaha mengutamakan matlamat dan objektif. Ukuran kerja ialah kecekapan. Ukuran usaha ialah keberkesanan.
Penterjemahan kurikulum dalam pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah misalnya. Sering dipersoalkan: mengapakah kurikulum yang demikian elok, lengkap dan sempurna tidak dapat diterjemahkan kepada bentuk pengajaran dan pembelajaran yang menghasilkan lulusan sekolah berfikiran kritis dan kreatif? Jawapannya ialah ketidak-cukupan usaha pelaksanaannya, adequacy of implementation. Sukatan pelajaran dilihat dari sudut pentadbiran, mematuhi ketetapan dan menaati pekeliling. Semua guru bekerja keras mengajar dan menghabiskan sukatan pelajaran. Walhal matlamat sukatan pelajaran ialah pembelajaran.
Oleh itu guru dan ketua guru perlu melihat sukatan pelajaran dari sudut pembelajaran. Demikian juga matlamat murid menghadiri persekolahan. Murid ingin belajar dan berubah ke arah kemajuan, bukan untuk membantu guru dan ketua guru menghabiskan sukatan pelajaran. Usaha menuntut pendidik dan pegawai pendidikan berfikir. Dengan kecukupan usaha, dengan kesungguhan berikhtiar, daya fikir akan berkembang, imaginasi menjadi terang, dan kreativiti akan bertandang — matlamat dan objektif menjadi kenyataan.

Prinsip kelima: SEPASUKAN.
Dalam menjulang obor transformasi dan menghadapi cabaran-cabaran besar globalisasi, anggota profesional jentera pendidikan negara wajib berusaha sebagai satu pasukan. Ujar Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak semasa menggulung usul Rancangan Malaysia Kesepuluh: ‘Kita bolehlah mengiaskan kejayaan untuk menterjemahkan sebuah negara Malaysia yang maju dengan rakyat berpendapatan tinggi kepada analogi sebuah pasukan bola yang berjaya. Bagi sebuah pasukan bola, untuk berjaya, kesemua pemain dalam pasukan tersebut tanpa mengira posisi, perlu bekerjasama serta bermain sebagai satu pasukan. Walau bagaimana hebat pun pemain secara individu namun, mereka hanya akan menggondol kemenangan sebenar jika bermain secara berpasukan.


Sepasukan bermaksud komited kepada nilai, visi, misi dan matlamat organisasi dan mengetepikan kepentingan diri dan perasaan peribadi. Bekerja sepasukan menuntut aplikasi kepimpinan pada setiap mata rantai tindakan. Ciri kepimpinan wajib sentiasa terpamer dan dipraktikkan oleh setiap orang. Bekerja sepasukan menuntut kehadiran altruisme dalam pengurusan, pentadbiran dan pelaksanaan operasi. Altruisme menjamin keakraban anggota pasukan kepada misi organisasi dan organisasi pula mampu menjana kesejahteraan kepada setiap anggota kumpulan.
Justeru pemimpin sekolah bertanggungjawab menjadikan sekolah sebagai satu pasukan profesional yang utuh dengan menyemarakkan rasa kepunyaan. Tanggungjawab pemimpin sekolah adalah untuk mencegah fenomena ‘alienated labor’, pemencilan guru dan pemencilan pekerja sekolah daripada visi, misi dan objektif kewujudan sekolah sebagai institusi pembelajaran. Pengetua dan guru besar adalah ketua platun.
Seandainya berlaku fenomena ‘alienated labor’ ini, sama ada dalam kalangan guru, mahupun pekerja bukan guru, pertanggungjawabannya ialah di atas pundak pengetua dan guru besar berkenaan. Seandainya terdapat seorang guru, di mana-mana sekolah, yang tiada rasa bangga, tiada sense of pride, terhadap profesyennya, terhadap tugasnya, terhadap sekolahnya, maka bagi kita itulah tanda-tanda ketidakupayaan ketuanya di sekolah.
Demikian juga, jika terdapat seorang pengetua atau seorang guru besar yang terpisah akal budi dan pemikirannya daripada agenda kecemerlangan pendidikan, agenda 1Malaysia, agenda arus perdana, maka itulah tandatanda ketidakupayaan pengurusnya di peringkat daerah dan ketidakupayaan pemimpinnya di peringkat negeri. Begitu jugalah di peringkat bahagian-bahagian.
Bekerja sebagai satu pasukan merupakan factor kritikal dalam era k-ekonomi, era dominasi modal insane mengatasi dominasi modal fizikal dan modal wang. Dalam era yang menyaksikan produktiviti dijana menerusi latihan profesional dan penggemblengan daya otak para pekerja, model pengurusan yang mengaplikasikan partisipasi dan keterangkuman menjadi semakin penting dan berguna.
Model pengurusan ini mengutamakan jaringan kerja demi membolehkan para profesional berinteraksi dan belajar sesama mereka. Setiap profesional menjadi sumber rujukan kepada profesional lain. Bekerja sebagai satu pasukan juga mengizinkan penyuburan pengurusan kendiri atau swaurus (selfmanagement).
Individu profesional menerima tanggungjawab dan mengambil inisiatif, mengawal dan memantau pekerjaannya, dan menjadikan pengurus dan penyelianya sebagai mentor dan fasilitator. Sandaran pengurusan kendiri ialah setiap profesional memiliki kompetensi, keyakinan diri dan kebolehan berdikari.
Dengan demikian profesional akan bekerja dengan lebih cekap dan berusaha dengan lebih gigih sekiranya mereka diberikan ruang dan kepercayaan mengurus diri sendiri. Pasukan pekerja profesional memerlukan kehadiran pemimpin dan pengurus yang berperanan sebagai mentor dan fasililator. Mentor dan fasilitator tidak menguasai dan mengawal pekerja, sebaliknya membebaskan mereka dan memberikan ruang kepada mereka untuk mengimaginasi, menginvensi dan menginovasi. Mentor dan fasilitator mewujudkan persekitaran kerja yang menggalakkan perkembangan diri pekerja profesionalnya dan menggalakkan mereka meneroka dan mencuba idea baharu.
Bekerja sebagai satu pasukan juga memungkinkan perkembangan ilmu pengetahuan. Nilai sesuatu ilmu meningkat dan berkembang apabila dikongsikan. Rekod kejayaan konglomerat Jepun adalah natijah daripada model pengurusannya yang menjurus kepada kerjasama dan permuafakatan antara firma perindustrian dan perdagangan.

Sedutan daripada buku , Haluan Kerja Pendidikan
oleh Y Bhg Dato’ Abd Ghafar b Mahmud, KPPM

No comments:

Post a Comment