Wednesday, February 16, 2011

TAZKIRAH

Allah mengetahui segala rahsia makhluk.

Surah Al-Faatir: 38
“Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi; sesungguhnya Ia mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.”
1.Ayat ini menjelaskan bahawa Allah mengetahui segala perkara, baik yang lahir mahupun yang batin. rahsia di langit dan di bumi. Ini menunjukkan kekuasaan dan keagungan Allah swt. Allah juga mengetahui segala perkara yang nyata dan yang ngaib. Malah Allah mengetahui segala isi dan niat di hati manusia.

2.Sehubungan dengan itu jika Allah mengetahui segala-galanya maka apakah sikap dan pendirian kita? . Apabila Allah mengetahui semuanya, sebagai manusia, kita dikehendaki berwaspada dan berhati-hati setiap masa dan ketika. Allah menyuruh kita benar-benar menghayati sikap jujur, amanah dan benar dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita.

3. Sifat-sifat mulia inilah merupakan sifat-sifat orang yg benar-benar beriman. Melalui amalan sifat-sifat inilah manusia itu akan dihitung dan dinilai oleh Allah swt. Impaknya, sifat-sifat ini boleh membawa kita sama ada ke syurga atau ke neraka Allah swt. .Jika ayat-ayat ini dihayati maka tidak berlakulah gejala rasuah, pecah amanah, dan penipuan yang menjadi amalan masyarakat kini.

Khalifah Allah menjana kualiti hidup di dunia.

“Dialah yg menjadikan kamu orang-orang yg berkuasa (khalifah) di muka bumi silih berganti; oleh itu sesiapa yg kufur ingkar maka balasan kufurnya itu akan menimpa dirinya sendirinya: dan orang-orang kafir, kufurnya tidak menambahkan mereka di sisi Tuhan mereka melainkan kemurkaan dan kehinaan: dan juga orang-orang yang kafir itu, kufurnya tidak menambahkankan mereka melainkan kerugian jua.” Faatir: 39

1. Peranan kita sebagai khalifah ialah kita perlu menguasai dan mengurus diri, keluarga, masyarakat dan negara. Pengajaran yang boleh kita ambil ialah kita perlu benar-benar menjaga tujuh sifat yang dianugerahkan kepada manusia, iaitu kudrat (tenaga), iradat(kehendak), ilmu, hayat (hidup), sama' (pendengaran), basar(penglihatan) dan kalam(pertuturan)

2.Persoalannya, sejauh mana kita mengurus ketujuh sifat-sifat ini? Adakah kita menggunakan sifat-sifat ini dengan betul atau kita menyalahgunakannya? Jika kita menyalahgunakannya maka itulah sikap orang-orang yang kufur atas segala nikmat yang Allah berikan kepada mereka. Sikap demikian akan menyebabkan kemurkaan Allah dan mereka akan mengalami kerugian.

3. Jika kita menilik diri usul kejadian manusia, terdiri dari jasad dan ruh. Manusia juga dianugerahi daya intelek dan emosi. Jadi kita perlu mengurusnya dan memberi makanan dan pengisian yang terbaik. Barulah jasmani dan rohani kita sihat dan segar dan terhindar daripada segala penyakit lahir dan batin. Makanan jasmani ialah makanan yang baik dan segar agar kita sihat. Makanan akal ialah menuntut ilmu. Manakala makanan rohani ialah membaca ,menghayati Al-Quran, bersedekah, berzikir, solat dan beramal saleh.



SB, Jalan Kebun, Klang 3.2.2011

No comments:

Post a Comment